fbpx
DI sebalik keletah dengan percakapan, Muhammad Haziq amat gemar memasak di dapur.–SHAHIR NOORDIN

Wartawan cilik curi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

POPULARITI Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, dari Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau dalam daerah Kuala Muda, Kedah melonjak naik selepas videonya melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau secara langsung itu menjadi tular.

Selepas tular, kehidupan remaja tersebut banyak berubah dan ramai wartawan yang mahu menemu bualnya.

Sungguhpun begitu ramai yang tidak tahu dia merupakan penghidap penyakit talasemia dan perlu menjalani rawatan berkala di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.
——————————————————————————————————————————————
“MAI, mai (jemput) la masuk. Jangan malu-malu, saya dok (sedang) masak wafer dan sotong goreng tepung kat dapur.”

Demikian pelawaan Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, ketika menyambut kedatangan penulis dan jurugambar ke rumahnya di Kampung Penghulu Tua, Bukit Selambau dalam daerah Kuala Muda, Kedah baru-baru ini.

Pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau itu kemudian memaklumkan dia menyediakan hidangan tersebut untuk rakaman bagi laporan sebuah stesen televisyen swasta tempatan.

“Selepas video tular, saya agak sibuk sekarang ini apabila ramai wartawan yang mahu temu bual saya.

“Pagi ini wartawan televisyen datang, selepas itu wartawan akhbar pula datang dan petang ini ada lagi yang mahu temu bual saya melalui panggilan telefon. Tidak sangka hari-hari saya masuk akhbar dan televisyen,” kata anak sulung daripada dua beradik itu kepada Panorama.

Katanya, dia juga menerima jemputan untuk membuat hebahan tentang suntikan vaksin penggalak menerusi program Info On Wheel Jabatan Penerangan di sekitar Pekan Bukit Selambau dengan menggunakan pembesar suara.

“Saya tidak sangka jadi popular, rasa macam artis pula. Saya pergi ke mana pun mesti ada yang kenal dan mahu bergambar dengan wartawan cilik, ‘Haziq Atan’. Masa dapatkan rawatan di hospital (Hospital Sultan Abdul Halim) baru-baru ini, orang ramai termasuk jururawat mahu bergambar dengan saya,” ujarnya.

VIDEO berdurasi dua minit 47 saat laporan penemuan ular sawa oleh Muhammad Haziq tular baru-baru ini.

Menurut Muhammad Haziq, dia langsung tidak menyangka videonya melaporkan tentang penemuan seekor ular sawa di sebuah pasar awam di Bukit Selambau secara langsung itu menjadi tular.

“Betul orang kata, ular sawa itu datang bawa rezeki kepada saya. Saya juga rasa seronok bila semakin ramai kenal Bukit Selambau,” katanya.

Ujarnya lagi, dia merupakan seorang yang ceria, peramah dan suka bercakap.

“Kalau saya bercakap memang susah nak berhenti, sampai mak saya pun naik rimas,” katanya sambil ketawa kecil.

Sementara itu menurutnya, dia sering melayari YouTube tentang pasukan penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

“Saya memang minat jentera-jentera yang digunakan pasukan penyelamat. Saya teringin nak naik jentera bomba tetapi impian itu belum tercapai lagi,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut, Muhammad Haziq berkata, walaupun dirinya nampak ceria dan sihat, dia sebenarnya menghidap penyakit talasemia dan perlu menjalani rawatan berkala di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.

“Saya tidak boleh terlalu aktif dan terkena panas, bila panas saya akan mengalami sakit kepala yang teruk.

“Doktor pesan saya tidak boleh tinggal asid folik, jika tidak, saya mungkin kena tambah darah lagi,” ujarnya sambil memberitahu penyakit itu tidak boleh sembuh.

Ibu bapa Muhammad Haziq, Mohd. Asyraf Ahmad, 37, dan Nur Shakilla Zainol, 33, merupakan pembawa talasemia, manakala adik kanak-kanak itu, Sara Salsabilla, 7, bebas daripada penyakit tersebut.

Pasangan suami isteri itu menyara keluarga dengan berniaga sayur di pasar pagi Bukit Selambau.

BAKAT kanak-kanak ini mencuri perhatian ramai sehingga turut ditemu bual rancangan televisyen.

Muhammad Haziq tidak gemar bermain bola sepak atau sukan lain, sebaliknya gemar memasak di rumah.

“Hari-hari saya masak, saya suka masak pelbagai jenis kek seperti kek pandan gula melaka dan marble serta wafer, burger Malaysia, donat dan lauk seperti sotong goreng tepung dan siakap tiga rasa.

“Kalau nak masak kek, mak memang tidak masuk campur kerana saya buat sendiri tetapi kalau bab masak gulai atau sambal, mak saya memang hebat,” katanya.

Kata Haziq, dia mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang cef dan membuka sebuah bakeri.

“Selain buat untuk makan sendiri, saya juga pernah menerima tempahan burger Malaysia dan garlic bread daripada kakitangan hospital,” jelasnya.

Pun begitu, selepas video laporan penemuan ular sawa olehnya tular, kanak-kanak itu mengakui mula ada minat untuk menjadi wartawan.

Sementara itu, Nur Shakilla berkata, anak sulungnya itu tetap aktif walaupun menderita talasemia.

MUHAMMAD HAZIQ yang menghidap talasemia di samping ibu tercinta, Nur Shakilla.

“Dia seorang yang sangat rajin tolong saya buat kerja rumah selain bantu di pasar pada cuti sekolah.
Walaupun sakit, dia tidak tunjuk sangat yang dia sakit. Bagaimanapun, kebelakangan ini dia nampak tidak berapa sihat kerana hidungnya kerap berdarah,” katanya.

Menurutnya, Muhammad Haziq sememangnya mempunyai bakat dalam masakan.

“Kalau buat kek dan kuih, memang dia akan buat sendiri. Dia akan mencuba resipi yang diperoleh di internet. Di dapur rumah ini pun, banyak barang dan peralatan untuk membuat kek dan kuih adalah milik Haziq,” katanya.

Tambahnya, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menerusi kakitangan istana telah berkenan menghadiahkan telefon bimbit, tablet dan jam tangan pintar kepada Muhammad Haziq baru-baru ini.

“Selain itu, Haziq juga telah menerima sijil penghargaan daripada APM,” katanya.
Panorama difahamkan impian kanak-kanak itu untuk menaiki jentera bomba juga dijadualkan bakal tertunai hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN