JOHOR BAHRU – Dua calon masing-masing daripada DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) diumum sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol, Chew Chong Sin akan mempertahankan kawasan itu manakala bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman pula berpindah ke DUN Mahkota.
Pengumuman itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu majlis di Kluang, hari ini.
Semalam, Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dinamakan semula untuk mempertahankan kerusi DUN Paloh yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Chong Sin memenangi sebanyak 29,559 undi di DUN Mengkibol pada PRU-14 selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Chin Sim Lai manakala Muhammad Taqiuddin pula mengatasi Datuk Tee Siew Kiong daripada BN dengan majoriti 3,395 di Pulai Sebatang dalam Parlimen Pontian. -K! ONLINE