fbpx

2,000 askar AS menuju ke Poland, Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASKAR AS berbaris untuk menaiki pesawat menuju ke Poland dan Jerman dari pangkalan tentera di Fort Bragg, Carolina Utara kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Beribu-ribu askar Amerika Syarikat(AS) menaiki beberapa pesawat menuju ke Eropah Timur kelmarin sebagai sebahagian daripada kerahan terbaharu untuk memperkukuhkan  tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara(NATO)  ketika Rusia mengancam untuk menakluki Ukraine, lapor portal berita Metro.UK.

Sejumlah 2,000 askar payung terjun daripada Divisyen Payung Terjun Ke-82 dan Kor Payung Terjun Ke-18 meninggalkan markas Fort Bragg di Carolina Utara dengan menaiki beberapa pesawat pengangkut C-17. Mereka dibahagikan kepada  dua kumpulan iaitu  1,700 askar Divisyen Ke-82 menuju ke Poland dan  300 anggota payung terjun Kor Ke-18 ditempatkan di Jerman.

“Kedua-dua pasukan ini mematuhi arahan mereka untuk dikerah ke Eropah iaitu di Jerman dan Poland untuk menyokong NATO dan rakan-rakan kami dalam mencegah Rusia,” kata jurucakap tentera AS, Matthew Visser.

AS mengumumkan pada Rabu lepas bahawa ia akan menghantar 3,000 askar tambahan ke Poland dan Romania bagi melindungi Eropah Timur ketika tentera Rusia berkumpul di sempadan negara itu dengan Ukraine.

Sebelum ini, seramai 1,200 askar AS daripada Rejimen Berkuda Ke-2 di Jerman telah dihantar ke Romania untuk memperkukuhkan 900 anggota tentera AS di sana.

“AS berdiri bersama-sama sekutu NATO kami. Situasi semasa menuntut kami memperkukuhkan posisi mencegah dan melindungi di medan Eropah Timur NATO,”  kata jurucakap Pentagon, John Kirkby Rabu lalu.

Beliau berkata,  AS perlu mengerahkan lebih ramai tentera memandangkan lebih 100,000 anggota tentera Kremlin telah berhimpun di sempadan timur Ukraine.

“Bagaimanapun, penempatan askar-askar AS ini bukanlah secara kekal,” katanya.

Rusia menafikan laporan bahawa ia merancang untuk menakluki Ukraine. Bagaimanapun, pentadbiran Presiden Joe Biden menyatakan kelmarin bahawa pihaknya mempunyai maklumat risikan bahawa Moscow akan menggunakan  klip video palsu memaparkan kekejaman Kiev terhadap etnik Rusia di Ukraine  sebagai alasan untuk menyerang jirannya itu. – Agensi 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI