fbpx

Terhimpit, Tuah jual Mini Cooper RM18,000 sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TUAH ADZMI

BENAR bagai dikata orang, rezeki memang tidak pernah salah alamat.

Tinggal lagi, lambat atau cepat rezeki itu tiba, tiada siapa yang pernah tahu kecuali Yang Maha Esa.

Lama menanti dan bukan sekali dua mencuba untuk meloloskan diri bagi bergelar peserta program realiti popular Big Stage tanpa wujud sekelumit rasa jemu, inilah janji Tuhan buat anak muda bernama Tuah Adzmi.

Memberi salam perkenalan sekitar lima tahun lalu menerusi single perdana hit berjudul Raja Di Hati, nama Tuah perlahan-perlahan meniti dan dikenali peminat.

Bakat nyanyian dan penulisan lirik yang mengalir dalam pembuluh darah pucuk muda itu jangan sesekali dinafikan.

Buktinya, baru menginjak usia 15 tahun, dia sudah mula aktif menulis lirik lagu sendiri hingga berjaya menghasilkan beberapa single hit seperti Insan Kau Cinta dan terbaharu, Kecewa.

Berkesempatan bertemu anak tunggal kelahiran Ampang, Selangor itu pada majlis pengumuman 11 peserta Big Stage musim keempat (BS4), kegembiraan jelas terpancar pada wajahnya.

TUAH bersyukur apabila percubaan kali ketiganya untuk menyertai pentas Big Stage akhirnya tercapai selepas bolos menjadi antara 11 peserta yang layak memulakan saingan bermula Ahad ini. – AZRUL RAFIE

Penantian berbaloi

Manakan tidak, penantiannya selama ini terlerai selepas mendapat panggilan daripada pihak pengurusan Astro sekali gus memberitahu dia antara 11 peserta lain yang berjaya ke BS4.

“Alhamdulillah. Kali ini memang tuah saya. Bukan sekejap saya tunggu. Bukan sekali saya cuba, tetapi tiga kali.

“Dari Big Stage musim terdahulu sampailah kini.

“Cuma ada satu musim itu saja saya tak masuk dan datang uji bakat,” katanya membuka bicara sambil menghulurkan senyuman buat penulis.

Setelah banyak kali mencuba tanpa rasa lelah, pemilik nama sebenar, Arumi Nafis Mohd Adzmi, 24, itu menyifatkan, kali ini memang tuah jatuh ke ribanya.

Peluang berentap merebut gelaran juara BS4 bermula Ahad ini akan digunakan sebaik mungkin.

“Insya-Allah saya akan cuba lakukan yang terbaik dalam BS4 ini. Saya akan cuba berikan yang terbaik dan gali sedalam mana ilmu berkaitan muzik.

“Program BS4 ini memang sudah lama saya idamkan.

“Rasanya bukan setakat saya, tanyalah mana-mana Budak Baru Nak Up (BBNU), pasti mereka mahukan perkara sama.

“Menang kalah itu belakang kira. Paling penting kami semua dah diberi tanggungjawab untuk lakukan yang terbaik,” ujarnya.

JEJAKA berkulit sawo matang ini tidak pernah kenal erti jemu apatah lagi mengalah untuk terus menempatkan namanya sebagai anak seni meski apa jua dugaan mendatang.

Terhimpit, jual kereta

Bercerita lanjut, ditanya soal perkembangan seninya sepanjang pandemik Covid-19 melanda, ada sedikit riak sugul terpampang jelas pada wajahnya.

Kata Tuah, sepanjang dua tahun pandemik, dia sama seperti anak seni lain yang turut terhimpit dan teruji dengan ujian mendatang.

Akibat desakan hidup, kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Tuah terpaksa menjual kereta jenama Mini Cooper kesayangannya pada harga yang tidak masuk akal bagi meneruskan kehidupan seperti bhiasa

Kata Tuah, dia terpaksa mengambil langkah berat tersebut dek mahu meneruskan kelangsungan hidup dan wang simpanannya yang semakin menyusut ekoran tiada persembahan.

“Seperti orang lain, pandemik yang melanda negara turut memberi impak terhadap periuk nasi saya. Apatah lagi, saya tidak boleh bekerja dan undangan nyanyian pun tiada.

“Wang simpanan pula makin lama makin susut. Jadi, saya tiada pilihan dan memutuskan untuk menjual kereta Mini Cooper itu pada harga RM18,000 saja.

“Nak jual kepada rakan pun tak boleh sebab memang kita semua sedang PKP. Tak ramai yang mampu melabur atau belanjakan duit beli bukan keperluan,” katanya.

TUAH berjanji akan sedaya upaya melakukan dan memberikan persembahan terbaik baik dalam BS4 nanti.

Perniagaan

Tidak mahu berpeluk tubuh atau mengharapkan rezeki jatuh ke riba, Tuah kemudian menggunakan wang hasil jualan keretanya sebagai modal untuk berniaga makanan dan pakaian, namun lain pula jadinya.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, perniagaan yang dimulakan juga turut gagal kerana masa yang kurang sesuai.

“Selain untuk tampung kehidupan, saya gunakan duit hasil jual kereta itu untuk jadikan modal berniaga roti john ketika Ramadan dan dalam masa sama saya juga baju-T.

“Namun, perniagaan tak menjadi. Jadi dengan adanya BS4 ini, saya tekad nak kembali bina kerjaya dan mahu senangkan ibu semula,” katanya.

MENERUSI BS4, Tuah mahu terus fokus dan membina semula kerjaya nyanyiannya yang sudah dua tahun berada dalam situasi suram.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI