fbpx

Berapa lama tunggu roti canai la…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

ADA sesiapa perasan kalau kita ke restoran mamak atau kedai makanan ala siam pada hujung minggu, masa menunggu untuk sekeping roti canai, teh tarik atau tom yam pedas mengambil masa cukup lama.

Mungkin ia tidak menjadi isu kerana pak menteri dan pembesar, mereka tidak ke kedai mamak. Mereka ada budak suruhan untuk membeli semua ini.

Kepada kebanyakan orang biasa, sesi di kedai mamak dan kedai makan bersama keluarga atau rakan-rakan, menjadi sebahagian ‘warna’ kehidupan rakyat Malaysia yang unik.

Sesi ‘mengeteh’ ini adalah norma sosial. Tetapi sejak Covid-19, lockdown dan darurat, apa yang jelas kebanyakan kedai makan berhadapan masalah mencari pekerja.

Masa menunggu menjadi terlalu lama. Ada pelanggan marah. Kekurangan pekerja sangat kronik di kedai-kedai makan ini. Selalunya di kedai mamak atau makanan, pekerja adalah ‘diimport’.

Penutupan sempadan dan kegagalan menyelesaikan isu pekerja asing menjadikan sektor restoran mengalami kekurangan pekerja. Ramai pekerja terpaksa balik kerana permit tamat. Sempadan ditutup menyukarkan kemasukan pekerja baharu.

Kegagalan untuk mencapai persetujuan di peringkat kerajaan-ke-kerajaan menambah masalah. Ada menyarankan pengambilan pekerja tempatan di restoran mamak.

Masalahnya, orang tempatan lebih berminat menjadi penghantar makanan daripada berdiri lebih 10 jam bertungkus lumus mengambil pesanan, menghantar makanan ke meja dan mengutip dan membasuh pinggan kotor.

Kerja di restoran memang perit. Paling tak tahan membasuh tandas. Kalau di rumah sendiri, tandas tidak dibasuh, masakan tandas awam.

Jadi anak tempatan tidak mungkin bekerja di kedai makan dan kedai mamak. Kalau ada di kedai makanan segera atau francais kopi. Itu lebih ‘glamour’ dan ada kelas.

Jadi untuk pengusaha kedai mamak dan restoran masakan ala siam, lupakan hasrat hendak mengambil pekerja tempatan.

Seperti sektor kelapa sawit, pembuatan atau pembinaan. Malaysia bergantung kepada tenaga kerja luar. Itu realitinya dan tidak perlu disadur gula dan madu untuk mencantikkan sesuatu yang sememangnya tidak.

Menteri berkaitan juga tidak perlu memikir panjang. Benarkan kemasukan pekerja asing mengikut keperluan industri. Sama ada suka atau tidak, migran atau pendatang, mereka menyumbang kepada sektor ekonomi dan pembangunan negara.

Di Emiriyah Arab Bersatu, daripada hampir 10 juta penduduk, 8.84 juta adalah warga asing atau ‘expat’. Cuma yang berbeza, kawalan di sana lebih ketat tetapi warga asing menyumbang kepada pembangunan ‘oasis’ di tengah padang pasir itu.

Jika warga asing mahu bekerja, tekun, disiplin dan tidak melanggar undang-undang, seperti ramai yang sudah berada di negara ini dan menganggap Malaysia seperti negara kedua mereka, mereka harus dibenarkan masuk dan bekerja di sini.

Proses yang sukar hanya merugikan Malaysia. Malah, kehilangan nyawa sia-sia seperti beberapa bot karam membawa warga asing dari Indonesia boleh dielakkan jika kebenaran dipermudahkan.

Malaysia tidak boleh berharap untuk membangun tanpa bantuan warga asing. Itu umpama roti canai tanpa kuah kari. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI