fbpx

Siapa saja tarik sokongan kerajaan tumbang – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui kerajaan Pusat akan tumbang jika mana-mana parti politik dalam gabungan tersebut menarik sokongan mereka terhadap kerajaan sedia ada.

Beliau bagaimanapun berkata, apa yang lebih penting pada masa ini adalah kestabilan politik dan ekonomi dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan negara dalam berhadapan pelbagai cabaran semasa.

“Kita tunggu apa yang sebenarnya, memang betul kalau mereka (Perikatan Nasional) menarik sokongan, kerajaan tumbang itu faktanya secara jelas.

“Sesiapa tarik sokongan akan tumbang tak kira siapa, kalau Gabungan Parti Sarawak (GPS) tarik atau dalam kalangan UMNO sendiri, kerana kerajaan memiliki kelebihan empat kerusi, lebih lima enam kerusi tarik sokongan, kerajaan akan tumbang tak kira siapa,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Monsun Timur Laut 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Semalam, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan menyatakan Pas dan Bersatu menegaskan sokongan kedua-dua parti itu terhadap kerajaan adalah bersyarat.

Presiden Bersatu itu berkata, sokongan mereka ketika ini perlu dihormati dan dirunding berlandaskan nilai integriti, anti rasuah serta berkebajikan.

Kedua-dua parti itu menegaskan pendirian mereka ekoran rasa kurang senang terhadap tindakan UMNO membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membuka jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, beliau percaya, kestabilan politik di peringkat nasional menjadi keutamaan semua pihak.

“Banyak perkara kita sedang rancang untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Saya percaya kalau timbul perkara-perkara seperti ini, politik kita kembali bergolak, ekonomi merudum, terjejas akibat tindakan ini,” tambahnya.

Sementara itu, beliau percaya kemungkinan perbincangan akan dilakukan melibatkan antara parti-parti terlibat.

“Tetapi perkara ini masih terlalu awal dan yang paling penting keselamatan, kesejahteraan, keharmonian rakyat perlu diberikan keutamaan,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI