fbpx

Menteri arah penternak hantar bekalan telur segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENIAGA menyusun bekalan telur ayam yang semakin menyusut di kedainya di Pasar Chow Kit, kelmarin.

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengarahkan Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) untuk menyegerakan penghantaran bekalan telur bagi mengatasi isu kekurangan bahan mentah itu.

Menterinya, Datuk Seri Ale­xander Nanta Linggi berkata, arahan itu dikeluarkan pihaknya selepas mengadakan sesi libat urus bersama FLFAM di Putrajaya semalam.

“Menerusi sesi libat urus itu, pelbagai isu telah kami bincangkan termasuklah isu kekurangan bekalan telur yang dialami di seluruh negara ketika ini.

“Jadi, bagi mengatasi masalah kekurangan itu, FLFAM telah diarahkan untuk segerakan penghantaran stok telur di seluruh negara sekali gus menjamin semula bekalan bahan mentah itu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

ALEXANDER semasa sesi libat urus bersama FLFAM di Putrajaya semalam.

FLFAM turut memberi jaminan menghantar bekalan telur ayam secara serta-merta ke seluruh negara mulai semalam.

“KPDNHEP sentiasa mengambil ambil maklum laporan akhbar dan media sosial berhubung isu kekurangan telur ayam yang meningkat di pasaran semenjak pembukaan sektor ekonomi pada 22 September 2021.

“Kami menerima beberapa aduan berkaitan isu kekurangan telur ayam terutamanya di pe­ringkat runcit serta sedang berusaha memastikan bekalan mencukupi,” jelasnya.

Dalam pada itu, KPDNHEP turut melaksanakan penguatkuasaan Ops Pasar (Telur Ayam) sejak 2 Ogos tahun lalu selain melaksanakan beberapa inisiatif antaranya melakukan kajian rantaian bekalan telur ayam secara komprehensif.

“Kementerian juga mengadakan perbincangan dengan industri telur selain menjalankan pemeriksaan secara berkala di peringkat penternak, pemborong dan peruncit.

“Sebanyak 2,711 peruncit dan 1,039 pemborong yang dipantau keberadaan bekalan secara ha­rian oleh KPDNHEP serta membuat pemantauan bekalan telur ayam secara berkala ke atas 50 syarikat pengeluar telur ayam yang mewakili 101 ladang bermula awal Mei 2020,” ujarnya.

Buat masa ini, anggaran pengeluaran telur ayam di pasaran pada bulan Januari 2022 ialah sebanyak 839 juta biji sebulan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI