fbpx
FATIMAH (kiri) bersama cucunya memanjatkan kesyukuran kerana boleh menunaikan semula umrah ketika ditemui di Flat PPR Taman Manggis, George Town semalam.

‘Doa kami akhirnya terkabul’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Doa bakal jemaah umrah negara ini untuk menunaikan ibadah itu akhir­nya termakbul apabila kerajaan membenarkan semula ibadah itu bermula 8 Februari ini.

Segala kekecewaan yang menyelubungi mereka sebelum ini ekoran penangguhan sementara perjalanan ke Tanah Suci sejak 8 Januari lalu telah ber­akhir.

Di George Town, Pulau Pinang, beberapa bakal jemaah umrah yang ditemui berkata, keputusan kerajaan itu adalah paling ditunggu-tunggu sejak penangguhan sementara umrah.

Fatimah Abdullah, 56, berkata, dia tidak menyangka hasratnya untuk menunaikan umrah tahun ini akhirnya terkabul selepas dua kali tertangguh ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, menangis saya sejurus dimaklumkan oleh agensi umrah Labbaik ­Travel & Tour Sdn. Bhd. semalam ­(kelmarin) tentang berita baik ini. Kami mungkin akan berangkat ke ­Ta­nah Suci pada 26 Februari ini.

“Memang saya sudah tidak sabar menjejakkan kaki ke sana selepas tertangguh dua kali dan pertama pada dua tahun lalu. Bayangan Kaabah semakin dekat dengan saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Fatimah berkata, dia kini lebih bersemangat untuk membuat persiapan terakhir termasuk mengemas dan memeriksa semula kelengkapan pakaian serta perkakasan yang perlu dibawa termasuk ubat-ubatan.

“Sebelum ini memang saya sudah membuat persiapan diri seperti berjoging dan melakukan senaman ringan setiap pagi.

“Tetapi bermula hari ini ­(semalam), saya perlu tingkatkan lagi stamina sebagai langkah persiapan sebelum melaksanakan sai dan tawaf nanti,” ujarnya.

FAUZIAH (kiri) bersama ibunya, Saadiah ceria menunjukkan jubah yang dibeli untuk dipakai apabila menunaikan umrah nanti ketika ditemui di Kampung Sungai Seluang, Kulim semalam.

Seorang lagi bakal jemaah umrah, Hayati Ahmad, 48, membe­ritahu, dia tidak dapat meluahkan kegembiraan yang dirasainya ketika ini apabila dimaklumkan pihak agensi umrah mengenai jadual penerbangan mereka pada pertengahan 14 Februari nanti.

“Syukur ya Allah, sebak sebaik menerima panggilan daripada agensi umrah petang semalam (kelmarin) tentang tarikh pelepasan kumpulan kami.

“Doa kami para bakal jemaah umrah akhirnya dikabulkan. Kami akan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) demi mengekang penularan Co­vid-19,” ujarnya.

Di Kulim, Kedah, Saadiah Awang, 79, berkata, dia gembira selepas dimaklumkan tentang berita itu oleh anaknya, Zul Azni Mohd. Noor, 59, petang kelmarin.

“Alhamdulillah, saya terharu serta bersyukur dan berharap agar dapatlah kami semua berangkat ke tanah suci dalam masa terdekat ini.

“Kami berharap janganlah ada penangguhan lagi kerana sudah dua kali tertangguh sejak 2020,” katanya di rumahnya di Kampung Sungai Seluang semalam.

Saadiah sepatutnya menunaikan umrah pada 20 Mac 2020 bersama lima ahli keluarga, namun terpaksa ditangguhkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selepas PKP, mereka sepatutnya mengerjakan umrah pada 15 Januari lalu, tetapi kerajaan mengumumkan penangguhan lagi bermula 8 Januari lalu ekoran penularan varian Omicron.

UMAT Islam negara ini berharap tiada lagi penangguhan kebenaran untuk menunaikan umrah. – GAMBAR HIASAN

Sementara itu, anaknya, Fauziah Mohd. Noor, 53, berkata, ramai jemaah umrah bersyukur selepas mengetahui ibadah itu boleh dilaksanakan semula dan tidak sabar untuk mengetahui tarikh mereka akan berangkat.

“Syarikat agensi belum memaklumkan lagi jadual perjalanan lagi, tetapi kami berharap dalam masa terdekat ini dapatlah bertolak ke sana,” ujarnya.

Sementara itu, Zul Azni berkata, dia bersama isterinya, Fatimah Ali, 37, serta dua adik perempuannya Fauziah, 53, dan Maria, 43, serta ibunya dan ibu tirinya, Che Puteh Sharif, 60, tidak sabar lagi untuk menunaikan umrah.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT dengan izin-Nya, kerajaan telah membenarkan semula ibadah umrah bermula 8 Februari depan,” katanya.

Pada 11 Oktober tahun lalu, kerajaan membenarkan pergerakan merentas negeri termasuk ke luar negara setelah negara mencapai kadar vaksinasi 90 peratus daripada populasi dewasa.

Seramai 11 orang menjadi kumpulan pertama jemaah dari Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci pada 13 Oktober tahun lalu.

Namun, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari lalu susulan peningkatan varian ­Omicron dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN