fbpx

65 peratus kebakaran di Pulau Burung dipadam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kira-kira 65 peratus daripada kawasan kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal berjaya dipadamkan setakat hari ini.

SEBERANG PERAI – Kira-kira 65 peratus daripada kebakaran seluas 11.3 hektar di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal di sini berjaya dipadamkan setakat hari ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Seberang Perai Selatan dalam satu kenyataan berkata, kawasan kebakaran dibahagikan kepada lima sektor bagi memudahkan kerja-kerja pemadaman kebakaran yang berlaku sejak kira-kira dua minggu lalu itu.

Menurutnya, Sektor 1, Sektor 2 dan Sektor 4 telah berjaya dipadamkan sepenuhnya, namun masih dalam status pemantauan serta kerja-kerja penambakan tanah.

“Manakala kerja-kerja pemadaman dan pengawalan masih dilakukan di Sektor 3 dan Sektor 5 menggunakan pelbagai kaedah dan alat pemadaman.

“Namun demikian secara keseluruhan kebakaran adalah terkawal,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, fokus utama operasi berkenaan selain daripada pemadaman kebakaran adalah menjaga keselamatan para petugas lapangan di lokasi.

“Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang telah membuat pemantauan Indeks Kualiti Udara 24 jam sehari dan akan meneruskan pemantauan menggunakan dron untuk mengesan titik-titik panas melalui imej termal bagi membantu operasi pemadaman kebakaran.

“Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Selatan melaporkan sepanjang pemantauan kesihatan di kalangan populasi oleh fasiliti-fasiliti bawah Kementerian Kesihatan, tiada peningkatan mendadak untuk kes jangkitan salur pernafasan (URTI), konjunktivitis dan asma,” kata kenyataan itu.

Selain digerakkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, usaha pemadaman turut dibantu pasukan Majlis Bandaraya Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba Sukarela dan syarikat PLB Terang.

Terdahulu, akhbar melaporkan kawasan tapak pelupusan sampah yang secara keseluruhannya berkeluasan kira-kira 16.2 hektar itu terbakar dalam kejadian lebih dua minggu lalu.

Seramai kira-kira 400 orang daripada 86 keluarga yang tinggal berdekatan kawasan itu dilaporkan terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan nyawa penduduk selain sepuluh buah sekolah turut ditutup tiga hari. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI