fbpx

Mana datang cerita lamaran? – Kilafairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KILAFAIRY

PETALING JAYA – Pelakon Kilafairy menegaskan tidak pernah menyatakan sedang menunggu lamaran kekasih hati, Sa’aid Umar Aiman seperti didakwa sesetengah pihak.

Katanya, soal untuk menuju ke fasa perkahwinan belum pernah didedahkan kepada umum, namun hubungan antara mereka masih berjalan seperti sedia kala.

“Saya tak pernah cakap sedang tunggu lamaran teman lelaki. Tapi apa yang boleh saya maklumkan, kami masih pasangan kekasih,” katanya ketika sesi sidang media virtual drama bersiri Tumpang Lalu Bang, hari ini.

Pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir, 29, itu berkata demikian mengulas gosip mengenai lamaran susulan paparan di sebuah program hiburan yang bertanyakan cincin di jari manisnya, baru-baru ini.

Terdahulu, percintaan bintang filem Karak itu yang mengenali teman lelakinya itu ketika di bangku sekolah sejak 13 tahun lalu bukan lagi rahsia.

Namun Kilafairy yang juga anak kepada penyanyi Rohana Jalil itu lebih selesa menyimpan kemas kisah peribadi terutama membabitkan soal jodoh.

Sementara itu, dia tidak mampu menyembunyikan rasa teruja menunggu siaran drama bersiri 28 episod Tumpang Lalu Bang yang menonjolkan ragam sebagai anak perempuan tunggal.

Katanya, dikelilingi lima aktor yang memegang watak sebagai abang-abangnya pada peringkat awal agak menyuntik debaran namun mereka sangat memahami situasinya yang sudah berhijab.

“Memang saya lebih lebih selektif dalam memilih watak selepas bertudung supaya tidak melampaui batas atau kurang bersesuaian membawakan adegan tidak sepatutnya.

“Macam Tumpang Lalu Bang, pada awalnya ketika terima tawaran saya tak tahu pun Sofia iaitu watak dalam drama ini akan dikelilingi lima abang yang sangat protektif yang membuatkan saya terfikir macam mana nanti babak bersentuhan antara adik beradik.

“Apa pun, sebaik penggambaran berlangsung, baik pengarah dan pelakon lain pun sebenarnya sudah faham batasan itu. Mereka tahu apa yang perlu dibuat kalau membabitkan adegan mesra.

“Hakikatnya mereka sangat menjaga batasan selain cukup menghormati kita hingga akan buat pertukaran kalau membabitkan babak berpelukan dan sebagainya,” katanya lagi.

Drama bersiri 28 episod terbitan Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd yang juga arahan Eon Shuhaimi turut membariskan Tomok, Ziana Zain, Black Raja Afiq, Aidil Aziz serta Qi Razali.

Dalam naskah ini dia menjadi anak bongsu yang sentiasa dilindungi lima abang hingga percintaan dengan Nizam (Tomok) turut mencetuskan kebimbangan keluarga termasuk ibunya lakonan Ziana.

“Saya seronok sepanjang berada di set sebab masing-masing ‘memberi’ ditambah penyertaan Kak Ziana di dalam pasukan ini yang membuatkan aura di lokasi semakin kuat.

“Hari-hari ada saja kejutan. Kak Ziana pun menyeronokkan ditambah sikapnya sendiri yang sentiasa happy go lucky. Kiranya memang ‘kena’ dia jadi mak kami walaupun dalam karya ini wataknya agak tegas.

“Kami semua pun sudah macam adik beradik. Apa-apa masalah kami bincangkan sama-sama terutama membabitkan babak. Kami disatukan sejak November tahun lalu dan dijangka penggambaran selesai lagi tiga minggu,” kongsinya.

Ulasnya lagi, lebih menarik apabila watak Sofia digambarkan penuh warna walaupun tampak pasif kerana dimanjakan selain dilatih supaya tidak mudah mempercayai lelaki. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI