fbpx
Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan berikat di rumah sewa mereka di Kampung Chenaga, Repah, di sini, baru-baru ini. - Foto oleh NOR AINNA HAMZAH

Lelaki ditemui mati berikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN – Perasaan tidak sedap hati seorang isteri setelah panggilan kepada suaminya tidak berjawab lebih sehari membawa kepada penemuan mayat suaminya dalam keadaan berikat di rumah sewa mereka di Kampung Chenaga, Repah, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa yang berusia 26 tahun disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Menurut rakan baik isteri mangsa, dia yang tinggal berhampiran bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan dari rakan baiknya untuk segera datang ke rumah sewanya yang tidak dapat dibuka.

“Masa saya sampai, anggota bomba telah membantu membuka pintu rumah yang masih dalam keadaan berkunci. Rakan baik saya tiada kunci rumah kerana kunci rumah dipegang suaminya. Dia dapat lihat keadaan suaminya itu dari luar rumah tingkap bilik utama mereka.

“Ikutkan, rakan baik saya sudah hampir seminggu berada di kampungnya di Pulau Gadong, Melaka kerana tidak sihat dan mereka baharu sahaja menyambut hari lahir anak mereka Sabtu lalu di sana. Suaminya pulang kembali ke rumah sewa mereka di Tampin ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Chenaga, Repah, di sini, tadi.

Katanya, pasangan suami isteri berkenaan yang turut bersama-sama dengannya membuat kerja amal badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu tahfiz baru kira-kira setahun menyewa di lokasi tersebut dan sepanjang pengetahuannya arwah tidak mempunyai musuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab menyatakan siasatan lanjut sedang dijalankan bahagian jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Tampin dan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal pihaknya mengesyaki terdapat unsur jenayah dalam kematian tersebut berdasarkan keadaan mayat yang ditemui dalam keadaan terikat.

“Kita percaya suspek merupakan individu yang dikenali mangsa berikutan tiada kesan pecah masuk ke dalam rumah sewa berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa di bawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban bagi proses bedah siasat,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR