fbpx
Lee Zii Jia menjadi pengganti terbaik kepada kehebatan Datuk Lee Chong Wei.

Salah siapa? Zii Jia atau BAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUDAH pasti ia keputusan yang mengecewakan, malah meruntuhkan moral seseorang pemain berbakat apabila digantung daripada beraksi di pentas antarabangsa selama dua tahun.

Mungkin tidak perlu dua tahun, digantung selama enam bulan sudah cukup untuk mematahkan semangat seorang pemain seperti Lee Zii Jia yang menduduki ranking ketujuh dunia apabila jatuh terperosok ke ranking bawahan.

Apabila bercakap dua tahun tidak didaftarkan dalam mana-mana kejohanan antarabangsa, kemungkinan Zii Jia hilang daripada radar ranking dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) adalah tinggi.

Untuk kembali bersaing dengan jagoan dunia selepas jatuh ranking bukan semudah ABC, mungkin perlu masa yang panjang bahkan harus bertanding setiap minggu sepanjang tahun untuk berada kembali di ranking teratas.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pula sudah mengumumkan hukuman terhadap Zii Jia, jadi ada apa lagi yang tinggal buat anak Malaysia berbakat berusia 23 tahun itu?

Sebaik hukuman diumumkan pada Jumaat lalu, ada yang menyifatkan hukuman itu tidak sepatutnya dan tidak kurang mengangkat tangan tanda bersetuju agar menjadi pengajaran kepada generasi seterusnya.

Sebenarnya, apa manfaat yang BAM peroleh daripada menggantung Zii Jia dan pemain muda wanita, Goh Jin Wei selama dua tahun?

Mereka tidak bersalah, tidak terlibat dengan kes doping pun, hanya menghantar surat peletakan jawatan untuk keluar daripada BAM dan ingin bergerak bebas sesuai dengan masa serta kehidupan masing-masing.

Berkenaan tajaan atau sebaliknya, itu bergantung kepada kebijaksanaan pemain itu sendiri menentukan kerana kadangkala, duit bukan segala-galanya.

Kita sedia maklum, Zii Jia menegaskan sudah tidak tahan dengan rejim latihan di BAM dan ingin bernafas selesa untuk bergerak secara profesional dan tidak tertekan.

Seharusnya, BAM yang menaungi sukan badminton negara harus terbuka menerima keputusan Zii Jia dan terus memberi sokongan kepadanya untuk menjadi pemain lebih bagus kerana pada akhirnya nama negara yang digalas.

Apa faedahnya jika BAM menyekat seorang pemuda yang berbakat dan mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa? Jangan cakap pinggan adalah lebih penting daripada makanan yang mahu disuap?

BAM harus bertindak seperti persatuan sukan, bukan menutup masa depan seorang pemain gara-gara bertindak meninggalkan organisasi. Jangan ada agenda peribadi atau angkuh sehingga sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman hingga tidak peduli apa akan terjadi kepada anak muda Malaysia berbakat itu.

Jangan melakukan perkara yang mendatangkan kerugian kepada diri sendiri. Sama-sama kita berharap Zii Jia kekal tabah berdepan hal ini, bukan menyerah kalah atau berfikir untuk terus bersara.
Anda berbakat besar!

POPULAR