fbpx
GAMBAR menunjukkan sebuah pulau di negara Kiribati. - TWITTER

Rekod bebas Covid-19 Kiribati tercalar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARAWA, Kiribati – Negara kepulauan Kiribati bebas Covid-19 semasa pandemik melanda tetapi apabila penerbangan pertama mendarat kelmarin, dua pertiga daripada kesemua penumpang didapati positif ujian koronavirus.

Laman berita Wion News melaporkan bahawa untuk kali pertama dalam tempoh 10 minggu, negara pulau Pasifik didiami 119,000 penduduk itu membuka semula sempadannya.

Pesawat pertama yang mendarat adalah milik syarikat penerbangan Fiji Airways yang berlepas dari Fiji ke ibu kota Kiribati, Tarawa.

Bagaimanapun, ujian saringan di dalam pesawat mendapati 36 daripada 54 penumpang telah dijangkiti Covid-19.

“Semua pelawat itu berada dalam keadaan baik dan dikuarantin,” demikian menurut pihak berkuasa.

Susulan perkembangan itu, kerajaan Kiribati mengisytiharkan perintah sekatan ketat empat hari di seluruh negara bermula esok di samping perintah berkurung selama dua minggu mulai Selasa ini.

Sekolah-sekolah ditutup dan semua penduduk hanya dibenarkan untuk meninggalkan rumah mereka bagi membeli barangan keperluan dan mendapatkan rawatan perubatan.

Semua penumpang penerbangan dari Fiji itu dikatakan telah menjalani kuarantin selama dua minggu dan mendapat keputusan negatif ujian saringan sebelum menaiki pesawat sekali gus menimbulkan tanda tanya bagaimana mereka mendapatkan jangkitan Covid-19.

Kiribati yang terdiri daripada 32 buah pulau terletak separuh jalan antara Australia dan Hawaii.

Pada bulan lalu, kerajaan Kiribati mengumumkan bahawa 93.4 peratus populasinya yang berusia 18 tahun dan ke atas telah menerima satu dos vaksin Covid-19, manakala hanya 53.1 peratus mendapat dos lengkap. – Agensi

POPULAR