fbpx

Bukan ‘blame’ Selangor tetapi lebih penambahbaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuan Ibrahim ketika ditemui pemberita hari ini. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung situasi banjir di Parlimen semalam bukan bersifat pendekatan menyalahkan kerajaan negeri Selangor, sebaliknya lebih kepada penambahbaikan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara yang dikatakan Ismail Sabri itu adalah realiti dengan negeri-negeri di pantai timur yang sentiasa tahu musim hujan dan bersedia menghadapi banjir.

Malah, katanya, Perdana Menteri juga tidak menyebut mana-mana individu dan nama, tetapi secara umum supaya ada penambahbaikan berhubung pengurusan banjir.

“Saya fikir tidak begitu. PM sebut fakta realiti apa yang berlaku dan bukan hendak ‘blame’ (salahkan) kerajaan Selangor.

“Mungkin Selangor (kerajaan negeri) tidak fikir sebegitu besar (banjir). Sebab itu, kadangkala amaran kita bagi banyak kali pun daripada kuning ke merah, tetapi masing-masing tidak jangka (banjir di Selangor),” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Malaysian Recycling Alliance (MAREA), hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung dakwaan sesetengah pihak mengenai kenyataan Ismail Sabri lebih kepada pendekatan menyalahkan kerajaan negeri Selangor.

Mengulas mengenai isu pam air di Taman Sri Muda di sini yang tidak beroperasi ketika banjir hujung tahun lalu, Tuan Ibrahim mengesahkan, kesemua pam berfungsi dengan baik.

“Pam (air) kita guna elektrik, apabila air meningkat dan risiko kepada orang ramai, maka Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa potong (bekalan) elektrik dan memberikan notis kepada kami.

“TNB juga memberikan kerjasama dengan membekalkan genset mudah alih. Saya sendiri turun sendiri dan lihat bagaimana pam berfungsi dengan baik,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, orang ramai tidak boleh mengharapkan pada waktu kritikal semua proses berjalan dengan baik.

“Contohnya, siren kita berbunyi tetapi apabila sudah banjir, kelam kabut dengan siren kereta berbunyi dan lain-lain lagi dan masing-masing menganggap tidak hirau. Namun, saya akui perlu penambahbaikan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pandangan Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu perlunya pam air yang rosak dibom, Tuan Ibrahim mengakui terkejut dengan cadangan berkenaan.

Ujarnya, pintu air mempunyai fungsi termasuk ada yang menyekat air dari luar memasuki sesuatu kawasan, namun pada masa sama boleh mengeluarkan air dari dalam kawasan tersebut.

“Mungkin dia bekas Menteri Pertahanan juga. Fungsi pam air ini untuk sekat air dari Sungai Klang memasuki kawasan Sri Muda dan bukan kita bom pintu air.

“Sebaliknya, membuka bahagian tepi (pintu air). Itu lebih murah berbanding bom, tidak boleh apabila banjir, kita bom dan sebenarnya isu kita adalah air hendak dikeluarkan di mana,” jelasnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI