fbpx
KOPI ini popular dalam kalangan masyarakat tempatan.

Rasa autentik Kopi 434 ikonik Muar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RUTIN harian wanita berusia 45 tahun itu bermula seawal pukul 6 pagi dengan menunaikan solat subuh sebelum menguruskan anak lelakinya ke sekolah.

Selesai menghantar anak ke sekolah, Nur Shazleen Md. Yusof perlu memandu sejauh 50 kilometer dari rumahnya di Shah Alam menuju ke Universiti Selangor (Unisel) di Bestari Jaya, Selangor.

Sebelum memulakan tugas sebagai pensyarah di Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, dia meluangkan masa membancuh secawan kopi di dalam kamar rehatnya.

Air kopi itu tidak terus diminum, sebaliknya dibiarkan seketika di atas meja sambil Nur Shazleen menghidu aroma ‘harum’ yang keluar daripada bancuhan tersebut.

Selepas beberapa minit, air kopi berwarna hitam pekat itu dihirup sedikit demi sedikit bagi membolehkan dia menikmati sepenuhnya kenikmatan rasa minuman tersebut.

Menariknya, kopi yang menjadi pilihan Nur Shazleen adalah jenis tradisional berbanding pilihan kontemporari yang lebih popular serta menjadi trend masyarakat ketika ini.

CHER YONG menunjukkan tiga jenis biji kopi berbeza iaitu liberica, arabica dan robusta.

Jenama kopi tradisional yang menjadi pilihan wanita berkulit sawo matang itu ialah Kopi 434 yang dikeluarkan oleh Sai Kee Kopi Serbok Sdn. Bhd. (Sai Kee).

“Saya minum kopi ini sejak tujuh tahun lalu. Selalunya, saya minum pada awal pagi sebelum mengajar di kelas dan selepas pulang ke rumah.

“Salah satu sebab saya minum kopi ini kerana aromanya yang mampu memberi kesegaran berpanjangan pada minda dan fizikal,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Kopi 434 mula bertapak dalam industri kopi tempatan sejak 70 tahun lalu. Jenama kopi berasal dari Muar, Johor itu cukup popular dalam kalangan masyarakat tempatan.

Menurut Nur Shazleen, dia mendapatkan bekalan Kopi 434 dalam bentuk uncang daripada rakannya yang dibeli sewaktu balik kampung di Muar.

Katanya, kopi tradisional itu bukan sahaja sedap diminum kosong, malah lebih menarik ditambah susu segar, menjadikan rasanya seperti latte.

“Sebagai penggemar kopi, saya tidak kisah pun minum kosong. Pada saya, rasa pahit kopi dapat memberi tenaga pada tubuh. Kalau hendak ubah selera, saya tambah susu,” ujarnya.

Rasa Kopi 434 lebih autentik berbanding jenama kopi komersial lain dalam pasaran tempatan disebabkan jenis bahan digunakan serta cara penghasilannya.

BUAH kopi liberica yang ditanam di ladang milik Cher Yong.

Pengarah Urusan Sai Kee, Kiar Cher Yong berkata, Kopi 434 dihasilkan daripada biji kopi liberica terbaik yang banyak ditanam di sekitar Johor.

Jelasnya, liberica adalah spesies terancam dengan penghasilan di seluruh dunia kurang daripada satu peratus, sekali gus menjadikannya sangat berharga.

Menurut sejarah, biji liberica dipercayai berasal dari Liberia, Afrika Barat yang diperkenalkan oleh penjajah di negara ini sekitar abad ke-19.

“Liberica ini turut dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai kopi gajah. Ia mempunyai saiz lebih besar dan panjang berbanding biji kopi biasa seperti arabica.

“Biji kopi ini juga mempunyai kulit tebal dan isinya padat. Daripada 1 kilogram buah kopi yang dikumpulkan, ia dapat menghasilkan kira-kira 10 gram biji kopi sahaja,” terangnya dengan penuh minat.

Menurut Cher Yong, pihaknya mendapatkan bekalan buah kopi liberica dari ladang miliknya seluas 2.02 hektar serta para petani sekitar Muar, Tangkak dan Simpang Renggam.

Jelasnya, bekalan buah kopi yang diperoleh itu masih tidak mampu menampung pengeluaran serbuk Kopi 434 yang dianggarkan 1,100 tan pada setiap tahun.

“Biji kopi liberica sangat terhad di negara ini kerana nilai ekonominya tiga kali lebih rendah berbanding spesies arabica atau robusta.

“Disebabkan itu, banyak ladang kopi telah diganti dengan kelapa sawit atau getah yang mempunyai nilai lebih tinggi. Ia memberi cabaran kepada pengusaha seperti kami,” jelasnya.

Cher Yong menambah, proses memanggang biji kopi liberica sangat mencabar berbanding biji kopi lain disebabkan bijinya yang panjang dan berbentuk tidak sekata.

SUASANA dalam kafe Kopi 434 yang sentiasa meriah dengan kunjungan pelanggan.

Tegasnya, tenaga buruh berpengalaman sangat diperlukan bagi memastikan biji kopi tidak hangus di luar dan mentah di dalam, sekali gus mengakibatkan kerugian.

“Biji kopi ini akan dipanggang bersama mentega dan gula hangus bagi memberi aroma serta rasa pada kopi dihasilkan. Proses ini perlu dilakukan dengan cermat.

“Sebelum ini, proses memanggang dibuat secara tradisional. Tetapi kami telah melabur RM1 juta pada tahun 2002 untuk membeli mesin dari Itali. Jadi, proses memanggang lebih sempurna dan lancar,” jelasnya.

Serbuk kopi liberica yang terhasil kemudian diproses bagi menghasilkan beberapa produk di bawah jenama Kopi 434 sama ada jenis tradisional atau kontemporari.

Kopi tradisional merupakan produk yang dihasilkan sepenuhnya daripada serbuk kopi liberica dengan label Kopi Elephant dan Kopi-O-Bag Elephant.

Kopi kontemporari pula adalah campuran antara liberica dengan arabica atau robusta. Antara produk di bawah jenama Kopi 434 adalah Kopi-O, Kopi 2 In 1, Kopi Kampung dan Kopi Kampung Campuran.

“Kopi tradisional ini lebih pekat dan pahit berbanding kontemporari. Aroma kopi ini hanya dapat dinikmati di dalam mulut dan bukannya menerusi hidung.

“Kopi tradisional ini juga tidak banyak dijual di restoran, kafeteria atau warung. Jadi, tidak hairanlah ia sentiasa menjadi buruan pelawat dari luar negara. Kopi ini juga menjadi ikonik kepada bandar Muar,” ujarnya.

Mengulas mengenai sejarah tertubuhnya jenama Kopi 434, Cher Yong memaklumkan, segalanya dimulakan oleh datuknya, Kiar Am Sai pada 1953 di sebuah rumah papan.

Katanya, ia mendapat permintaan menggalakkan daripada penduduk tempatan hingga membawa kepada pembukaaan kilang pertama pada 1963.

Jelasnya, perniagaan Kopi 434 kemudian diteruskan bapanya, Kiar Juan Pooh pada 1982 dengan membawa perubahan termasuk menambah baik cara memanggang biji kopi.

“Bapa saya pandai memasak, selepas habis belajar di Taiwan, dia ambil alih perniagaan daripada datuk. Pada 2014, saya pula yang ambil alih perniagaan ini.

“Saya merupakan generasi ketiga yang menguruskan Kopi 434. Matlamat saya adalah untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati kopi ini,” terangnya lagi.

Untuk makluman, kopi tersebut dinamakan 434 disebabkan tiga digit terakhir nombor telefon yang digunakan sekitar tahun 60-an. Justeru, berbanding menggunakan nama Sai Kee, warga Muar lebih gemar menggunakan nama Kopi 434.

Seiring dengan peningkatan minat masyarakat tempatan terhadap minuman berasaskan kopi, jenama Kopi 434 melebarkan sayap membuka sebuah kafe di Muar pada tahun 2005.

Kafe yang menjual pelbagai minuman kopi tradisional dan kontemporari itu mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan luar Muar.

Ekoran sambutan yang menggalakkan, kafe dikenali Kopi 434 atau Sai Kee itu membuka cawangan keduanya di Melaka pada tahun 2017.

“Kafe ini menawarkan pelbagai jenis minuman berasaskan kopi serta aneka sajian menarik. Kami juga menawarkan kopi paling terhad di dunia, Queen’s Coffee.

“Minuman ini dihasilkan daripada bunga pokok kopi. Jadi, ia hanya boleh diperoleh sekiranya pokok kopi berbunga. Sama seperti permaisuri, ia sangat terhad,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN