fbpx

Bung tidak pernah minta komisen RM3.5 juta – ejen pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bung dan Zizie keluar dari Mahkamah Sesyen di sini hari ini

KUALA LUMPUR – Seorang ejen pelaburan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak pernah meminta komisen RM3.5 juta daripadanya sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah.

Ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 43, berkata, perkara berkaitan komisen itu tidak dibincangkan ketika beliau hadir pada pertemuan yang turut disertai oleh Bung Moktar dan beberapa pihak lain di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini pada 4 Mei 2015.

Ujar saksi pendakwaan ke-24 itu, isu berhubung bayaran yuran pengenalan kepada Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga tidak ditimbulkan pada pertemuan tersebut.

Ketika ditanya oleh peguam M.M. Athimulan pada sesi pemeriksaan balas, Madhi menyatakan, pemberian komisen kepada isteri Bung Moktar, Datin Seri Zizie Izette A. Samad sebagai wang pengenalan adalah amalan biasa yang diberikan kepada pencadang (introducer).

Pada sesi pemeriksaan utama 26 November 2021, Madhi memberi keterangan bahawa Bung Moktar tidak meminta komisen RM3.5 juta, sebaliknya beliau sendiri (Madhi) bersetuju wang RM2.2 juta diberikan kepada Zizie sebagai wang pengenalan.

Bagaimanapun, keterangan tersebut bercanggah dengan butiran yang terkandung dalam rakaman percakapannya ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016 berkaitan kes rasuah pemimpin politik Sabah itu.

Pada 7 Disember 2021, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas saksi itu yang dianggap sebagai saksi belot (hostile witness) berikutan keterangannya di mahkamah bercanggah dengan rakaman percakapan semasa disoal siasat SPRM.

Hakim Rozina Ayob kemudian mengarahkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan menyediakan nota keterangan masing-masing dan menangguhkan perbicaraan pada 26 dan 27 Januari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: A feed could not be found at `https://www.relevan.com.my/feed`. This does not appear to be a valid RSS or Atom feed.