fbpx

Bercuti guna tren jadikan perjalanan lebih menarik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENGGUNAKAN perkhidmatan kereta api adalah salah satu pengangkutan ideal ketika bercuti kerana ia selamat, selain harga tiketnya lebih murah berbanding pesawat.

KENDERAAN merupakan salah satu elemen penting dalam menjayakan sesuatu percutian. Dengan kenderaan, seseorang itu boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Rata-rata masyarakat di negara ini bercuti menggunakan kereta untuk perjalanan jarak dekat dan sederhana serta kapal terbang bagi ke tempat lebih jauh terutamanya di luar negara.

Hakikatnya, ramai tidak sedar kereta api merupakan salah satu pengangkutan ideal yang boleh digunakan ketika bercuti.

Ia bukan sahaja lebih selamat, malah harga tiketnya juga murah.

Justeru tidak hairanlah, ia sering menjadi pilihan backpackers atau mereka yang melakukan percutian bajet.

Menurut saluran Planet Green, kereta api juga salah satu pengangkutan mesra alam kerana mampu membawa sejumlah besar penumpang pada satu-satu masa.

Benua Eropah dan Asia mempunyai jaringan landasan kereta api yang baik, sekali gus menjadi pilihan pelawat untuk meneroka keunikan sesebuah negara.

Di negara ini, jaringan kereta api bertambah baik selepas pengenalan Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) yang menghubungkan Padang Besar di Perlis ke Gemas, Negeri Sembilan.

Menerusi perkhidmatan berkenaan, pelancong boleh berhenti di 36 stesen yang merentasi lapan buah negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Minggu ini, Horizon ingin berkongsi tip yang boleh dipraktikkan sekiranya anda memilih menggunakan kereta api untuk bercuti sama ada di dalam mahupun luar negara.

JANGAN lupa mengunci bagasi bagi mengelakkan berlaku kecurian ketika berada dalam kereta api.

1.Kemas bagasi

Sebelum memulakan perjalanan, harus kemas bagasi dan meminimumkan barangan supaya mudah diangkat.

Kadang-kadang jarak antara pintu masuk kereta api dengan tempat duduk agak jauh. Mengangkat bagasi dalam jarak itu pasti memenatkan.

Pastikan bagasi dikunci bagi mengelakkan berlaku kecurian.

2.Sentiasa bersedia

Anda disarankan supaya tiba 45 minit lebih awal di platform sebelum tren berlepas.

Ia bagi mengelakkan anda terkejar-kejar atau ditinggalkan kereta api.

Anda juga perlu menyimpan tiket sepanjang perjalanan kerana pada bila-bila masa sahaja konduktor membuat pemeriksaan mengejut.

3.Keselesaan

Duduk berjam-jam dalam kereta api pasti memenatkan.

Lebih perit lagi jika memakai seluar jeans ketat.

Sebaiknya, pakai seluar berkain lembut dan longgar untuk keselesaan.

Anda juga disarankan supaya membawa selimut atau baju panas sekiranya melakukan perjalanan pada waktu malam bagi mengelak kesejukan.

BAGI mengelakkan kesejukan ketika perjalanan menggunakan kereta api pada waktu malam, anda perlu membawa selimut atau baju panas sendiri.

4.Bawa snek

Tidak semua perkhidmatan kereta api menyediakan perkhidmatan jualan makanan.

Ia bergantung kepada penyedia kereta api dan negara.

Anda perlu sentiasa bersedia dengan membawa makanan dalam bagasi seperti roti, bar tenaga atau sosej.

Ia sebagai langkah persediaan jika berlaku kelewatan tren akibat kerosakan atau landasan terhalang.

5.Elak pertukaran malam

Sekiranya bercuti di luar negara menggunakan kereta api, elakkan membuat pertukaran tren pada waktu malam.

Ini kerana, risiko untuk tertinggal bagasi lebih tinggi memandangkan minda dan fizikal sudah penat.

Sebaiknya, ambil tahu jadual dan laluan kereta api. Jika perlu menunggu ketika pertukaran tren, cari tempat duduk dan berehat seketika.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI