fbpx

MAIS peruntukan RM38.1 juta bantu pihak terjejas banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Aziz (kiri) menyampaikan sumbangan berupa dapur memasak kepada salah seorang mangsa banjir di Kampung Sungai Lui.

HULU LANGAT – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sumbangan sebanyak RM38.1 juta bagi membantu pihak yang terjejas akibat banjir di Selangor termasuk masjid, surau, sekolah, pusat tahfiz dan individu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, sumbangan itu meliputi peruntukan oleh Baitulmal MAIS, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Bakti Suci Holding Sdn. Bhd. (Bakti Suci Holding) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Daripada jumlah tersebut sebanyak RM37.17 juta diagihkan oleh LZS, RM300,000 oleh YIDE dan RM55,000 oleh Bakti Suci Holding. Sebanyak RM250,000 pula diagihkan oleh JAIS melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) dan selebihnya diagihkan oleh MAIS sendiri.

“Sumbangan berbentuk bantuan wang tunai, set makanan asasi, keperluan asas, set pakaian persekolahan, pembersihan dan baik pulih kerosakan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bantuan mangsa banjir di Masjid Ar-Rahman, Kampung Sungai Lui dekat sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (Teras) pula berperanan membekalkan pek makanan asas kepada mangsa banjir di Selangor di bawah peruntukan MAIS dan LZS.

Beliau seterusnya memaklumkan, Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (MAIN) dan Pusat Zakat Negeri turut menghulurkan sumbangan melalui MAIS bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas di Selangor.

Menurut beliau, sumbangan dana dan makanan asas itu termasuk daripada Majlis Agama Islam Perlis (200 kotak makanan asas), Majlis Ugama Islam Sabah (dana RM100,000), Majlis Agama Islam Johor (2,000 kotak makanan) dan Majlis Agama Islam Perak (dana RM150,000).

Kata beliau, turut memberi sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (dana RM3,000,000) bagi membina semula rumah yang terlibat dengan banjir khususnya asnaf fakir dan miskin, Lembaga Zakat Negeri Kedah (12,000 kampit beras) serta Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan Zakat Pulau Pinang (dana RM150,000).

“MAIS telah mengagihkan sumbangan dan bantuan barangan yang diterima ke seluruh daerah Selangor yang terlibat dengan banjir,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI