fbpx

“RM20,000 tidak mampu ganti nyawa dua ahli keluarga saya”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Elly (kanan) bersama Wan Ling menunjukkan sampul BSB yang diterima mereka di Pejabat Daerah dan Tanah Klang, hari ini.

KLANG – Musibah banjir yang mengorbankan insan tersayang masih lagi dirasai bagi dua buah keluarga di Taman Sri Muda dan Kampung Idaman, di sini.

Walaupun menerima bantuan Selangor Bangkit (BSB) masing-masing sebanyak RM20,000 dan RM10,000 namun tidak dapat menggantikan ahli keluarga mereka yang terkorban dalam banjir terburuk melanda Selangor itu.

Menurut Elly Kong, 38, dia tidak dapat menghilangkan rasa sedihnya terhadap pemergian neneknya, Chan Ah Poh, 94, dan ibu saudaranya, Tan Oan Har, 73, akibat tragedi tersebut.

Katanya, ini susulan nenek dan ibu saudaranya itu ditemukan dalan keadaan berpelukan antara satu sama lain oleh anggota bomba di rumah mangsa di Taman Sri Muda pada 20 Disember lalu.

“Saya difahamkan mereka berdua cuba menyelamatkan diri namun gagal susulan nenek lumpuh separuh badan dari pinggang hingga kaki.

“Bagaimanapun, saya menghargai bantuan daripada kerajaan negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan BSB di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di sini, hari ini.

Elly turut memberitahu, bencana banjir itu hampir meragut nyawa ibunya, Tan Wan Ling, 70, yang tinggal di rumah lain di sekitar Taman Sri Muda.

Ujarnya, ibunya itu berjaya ditemui di loteng rumah ketika suami memasuki lokasi banjir dengan menaiki bot pasukan keselamatan.

“Loteng tersebut dibina ayah sebagai tempat perlindungan sekiranya berlaku banjir setelah mengambil ikhtibar daripada kejadian banjir pada tahun 1995,” jelasnya yang tinggal di Kota Kemuning.

Perasaan sama turut diluahkan Abdul Talib Kamar, 61, apabila abangnya, Yahya Dolah, 67, ditemui lemas di dalam rumah pada 21 Disember lalu selepas dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya dalam banjir itu.

“Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas wang bantuan ini walaupun tidak dapat kembalikan nyawa abang,” ujarnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI