fbpx

3 bunga boleh dimakan diabadikan dalam setem khas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar setem khas yang bertemakan ‘Bunga Boleh Dimakan’ terbitan Pos Malaysia Berhad.

PUTRAJAYA – Pos Malaysia Berhad membuka jendela Tahun Baharu 2022 dengan tampil melancarkan setem bertema khas Bunga Boleh Dimakan kepada para peminat filateli.

Menerusi hantaran dalam laman sosial rasmi agensi itu, koleksi tersebut memaparkan tiga jenis bunga lazim dijadikan ramuan hidangan tempatan iaitu bunga betik, telang dan kantan.

“Bunga ini bukan sahaja menambah perasa dan warna unik dalam makanan seperti kerabu betik, pulut tekan dan manuk pansuh, malahan terbukti banyak khasiat kesihatan,” jelasnya hari ini.

Selain pejabat pos besar di semua ibu negeri, folder istimewa ini yang ditawarkan pada harga RM56.90 bagi satu set lengkap juga boleh dibeli di 94 cawangan Biro Filateli Pos Malaysia termasuk pejabat pos di kebanyakan bandar besar setiap negeri.

Ia juga boleh didapati di empat institusi pengajian tinggi awam di sekitar Lembah Klang antaranya Universiti Malaya di ibu negara.

Dua set lembaran itu mengandungi 20 keping setem yang masing-masing berharga 60 sen dan RM1.30 selain dua sampul surat hari pertama bersama dua setem berbeza serta folder.

Peminat filateli juga boleh membuat tempahan pembelian lembaran istimewa secara atas talian menerusi pautan daripada laman sesawang rasmi iaitu https://bit.ly/edibleflowerstamps.

Akhir bulan lalu, Pos Malaysia Berhad menutup tirai 2021 dengan menawarkan setem khas yang bertemakan 100 Tahun Piala Malaysia bagi mengenang legasi kejohanan bola sepak itu. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI