fbpx

Denda atau penjara jika guna paku bungkus makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nasi yang dibungkus dengan diselit paku dijual di beberapa kedai makanan terkenal.

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan peniaga supaya tidak menggunakan paku atau bahan seumpamanya yang berbahaya pada pembungkusan makanan dan jika ingkar, tindakan undang-undang akan diambil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan.

Menurutnya, mereka yang ingkar boleh didakwa di mahkamah serta dijatuhi hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

“Hukuman yang lebih berat itu boleh dikenakan kepada peniaga sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan.

“KKM mengambil maklum mengenai isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang tular di media sosial serta pandangan pelbagai pihak yang khuatir terhadap kaedah pembungkusan makanan yang tidak selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, pembungkusan makanan menggunakan paku yang menjadi trend pada masa kini tidak sepatutnya berlaku kerana terdapat pelbagai kaedah lain pembungkusan yang lebih selamat untuk membungkus makanan dengan baik.

Katanya, penggunaan paku, dawai kokot atau bahan lain yang berbahaya pada pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku.

“Terdapat pelbagai kaedah pembungkusan makanan yang terbukti selamat dan berkesan membungkus makanan dengan baik,” ujarnya.

Noor Hisham turut mengingatkan para ibu bapa untuk memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum dimakan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI