fbpx
Angota penguat kuasa yang dilengkapi senjata api melakukan kawalan keselamatan di Sungai Golok, Rantau Panjang, Kelantan.

Guna dron ‘intai’ penguat kuasa di Sungai Golok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sindiket dadah semakin bijak apabila memanfaatkan teknologi se­perti dron bagi memudahkan kerja penyeludupan di Sungai Golok, Kelantan yang menjadi pemisah Malaysia-Thailand.

Mereka menggunakan alatan itu untuk mengintai ruang dan peluang bagi memastikan bahan terlarang tersebut mendarat dengan selamat di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, penggunaan dron sangat popular dalam kalangan sindiket dadah di Sungai Golok ketika pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kebanyakan sindiket menggunakan dron untuk memantau pergerakan penguat kuasa dan lorong tikus boleh dilalui atau sebaliknya. Jika selamat, mereka akan menceroboh masuk.

“Namun begitu, bukan semua sindiket menggunakan peralatan canggih itu kerana setiap sindiket mempunyai taktik dan kaedah yang berbeza,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut beliau, sindiket bergerak dalam rangkaian ahli yang ramai di kedua-dua buah negara dan setiap daripada mereka mempunyai peranan berbeza termasuk runner yang membawa dadah ke pangkalan haram.

“Biasanya kegiatan penyeludupan aktif pada waktu tengah malam hingga awal pagi. Mereka menjadikan kawasan tersembunyi sebagai laluan.

“Sindiket akan menggunakan peluang menyeludup dadah sekiranya anggota penguat kuasa yang bertugas di sempadan ‘alpa’ walaupun untuk tempoh sebentar dan ketika pertukaran syif.

“Mereka akan guna peluang keemasan itu dengan sebaik-baiknya. Saya tak cakap badan penguat kuasa kita lemah, tetapi mereka akan guna kelemahan itu untuk curi-curi masuk misalnya ketika pertukaran syif dan semasa anggota berehat,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut mengakui kedudukan Kelantan dan selatan Thailand yang terlalu hampir iaitu 44 meter yang cuma dipisahkan oleh Sungai Golok nyebabkan sempadan negara mudah dibolosi.

“Sindiket dikesan masih menggunakan bot untuk menyeludup masuk dadah ke negara ini.

Tambah beliau, anggota sindiket hanya perlu merentas Sungai Golok yang mengambil masa lima minit untuk sampai di tebing sempadan negara ini.

“Jika dilihat pada musim kemarau, air Sungai Golok cetek dan saya tidak menafikan kegiatan menyeludup dadah menjadi semakin rancak umpama pesta pada musim tersebut,” katanya.

Namun begitu, jelas Razarudin, kegiatan penyeludupan dadah di Sungai Golok sedikit terjejas sejak pelaksanaan PKP di negara ini ekoran kerajaan memperketatkan aktiviti kawalan di sempadan kedua-dua negara.

Setakat ini, Polis Diraja Malaysia berjaya mengesan 92 pangkalan haram di sempadan sungai tersebut yang menjadi transit dadah yang terdiri daripada rumah penduduk, kedai dan juga bangsal.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN