fbpx

1,306 jemaah umrah positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,306 kes atau 11.76 peratus daripada 11,108 jemaah umrah dikesan positif Covid-19 berdasarkan data sehingga 30 Disember lalu iaitu sejak kumpulan pertama jemaah umrah berlepas ke Tanah Suci pada 13 Oktober 2021.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada jumlah tersebut 592 kes dikesan positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di negara ini dan 714 kes dikesan pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.

Katanya, dalam masa sama, dua lagi kes Covid-19 disahkan varian Omicron semalam, menjadikan jumlah keseluruhan varian berkenaan adalah sebanyak 64 kes iaitu 63 melibatkan pengembara dan satu kes disyaki jangkitan tempatan.

“Daripada 64 kes jangkitan Covid-19 varian Omicron ini, sebanyak 32 kes atau 50 peratus dikesan dalam kalangan jemaah umrah manakala sehingga 30 Disember lalu terdapat sembilan kluster yang melibatkan jemaah umrah.

“Ia melibatkan lima kluster dengan kes-kes indeks disahkan varian Omicron, satu kluster kes indeks berkemungkinan Omicron dan sedang menunggu keputusan ujian jujukan penuh (WGS) serta tiga kluster melibatkan kes-kes indeks bukan varian Omicron,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 1,077 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara bermula 21 sehingga 29 Disember lalu.

“Sebanyak 966 daripadanya telah menunjukkan berkemungkinan varian Omicron dan kini menunggu keputusan WGS, manakala daripada 966 sampel tersebut 750 atau 77.6 peratus melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi,” jelasnya.

Bagi data secara keseluruhan bermula 1 Januari hingga 30 Disember pula, katanya, sebanyak 2,763 kes Covid-19 dikesan dalam kalangan pengembara yang tiba di pintu masuk antarabangsa (PMA) melibatkan 1,446 kes pengembara tiba dari Arab Saudi, diikuti oleh Singapura (322 kes), Indonesia (264 kes) dan United Kingdom (217 kes). -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI