fbpx
Tangkap layar video penjelasan keadaan di Mekah dimuat naik PU Rahmat di Instagram.

[VIDEO] Serangan dron ke Mekah dipatahkan, jemaah umrah selamat – PU Rahmat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pendakwah, PU Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan memberi jaminan keadaan di Mekah Al-Mukarramah berada dalam situasi baik dan ibadah umrah jemaah berjalan seperti biasa susulan insiden serangan udara yang dipintas pihak berkuasa Arab Saudi.

Katanya, sejak petang semalam, beliau menerima banyak mesej dan pertanyaan menerusi WhatsApp daripada orang ramai yang bimbang mengenai keadaan di Tanah Suci.

“Adakah berlaku serangan ke atas Masjidil Haram ataupun Mekah Al-Mukarramah? Saya memberikan khabar gembira bahawa semuanya baik-baik belaka.

“Daripada Asar tadi, bertubi-tubi WhatsApp ataupun mesej yang sampai kepada saya bertanya keadaan Mekah Al-Mukarramah,” katanya menerusi satu perkongsian video di Instagram.

Menurut Rahmat, pihak berkuasa pertahanan Arab Saudi berjaya memintas dan mematahkan ancaman udara berkenaan, sekali gus memastikan keadaan di Mekah kekal terkawal.

“Kalau boleh lihat sekarang, semua jemaah umrah masih lagi melakukan umrah dan ibadah seperti biasa.

“Yang pertama, memang berlaku serangan udara. Yang kedua, pada awalnya tidak dapat dipastikan sama ada ia membabitkan dron, peluru berpandu atau misil berdasarkan maklumat yang diterima ketika itu,” katanya.

Rahmat turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh sebarang serpihan atau objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden berkenaan sekiranya menemuinya.

“Kerajaan Saudi menerusi Kementerian Pertahanan meminta sekiranya kita bertemu dengan sisa ataupun hasil daripada pertempuran, jangan disentuh perkara itu.

“Kadang-kadang kita teruja apabila nampak serpihan, tetapi jangan sentuh. Apa pun, semuanya baik-baik dan ibadah masih berjalan lancar, Alhamdulillah,” katanya.

Terdahulu, perkembangan terbaharu yang dilaporkan media Arab Saudi mengesahkan ancaman tersebut merupakan sebuah dron yang dilancarkan kumpulan Houthi dari Yemen.

Pertahanan Udara Diraja Saudi memintas dan memusnahkannya di selatan Mekah pada pukul 6.50 petang waktu tempatan semalam sebelum ia memasuki ruang udara larangan bandar suci itu. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN