fbpx

KPM umum keperluan hadir ke sekolah secara penggiliran atau sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Murid kelas peralihan, pelajar tingkatan 4, 5 dan 6, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara tidak perlu hadir ke sekolah secara penggiliran bagi sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berkata, kumpulan berkenaan boleh hadir ke sekolah bermula 9 dan 10 Januari ini tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan kumpulan murid tersebut di institusi berkenaan telah mencapai 90 peratus atau lebih.

“Pengoperasian institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih bagaimanapun akan kekal beroperasi secara penggiliran dan KPM akan mengeluarkan senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus pada setiap Rabu.

“Institusi pendidikan yang telah mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus akan dikeluarkan daripada senarai tersebut serta boleh mula beroperasi pada hari Ahad atau Isnin minggu berikutnya tanpa penggiliran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketetapan berkenaan juga adalah melibatkan pelajar yang belajar di sekolah berasrama sepenuhnya manakala bagi pelajar tingkatan 1, 2, dan 3 di sekolah berasrama sepenuhnya perlu mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurut kenyataan itu, kehadiran bagi murid Tingkatan 1, 2 dan 3 bagaimanapun adalah secara penggiliran dan semua ketetapan itu terpakai kepada murid sekolah swasta dan antarabangsa yang setara dengan sekolah menengah KPM.

“Bagi Murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, Tahun 1, 2 dan 6 serta semua murid bawah
program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) pula, kehadiran adalah tanpa penggiliran.

“Manakala murid tahun 3, 4 dan 5 pula perlu hadir ke sekolah secara penggiliran yang mana ketetapan ini turut terpakai kepada murid sekolah swasta dan antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah KPM,” ujarnya.

Tambah KPM, bagi sekolah yang enrolmen kurang daripada 300 murid, seperti sekolah harian, swasta termasuk sekolah ekspatriat, mereka boleh beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran.

“Namun bagi sekolah ekspatriat yang enrolmen melebihi 300 murid, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk berioperasi sepenuhnya yang akan dinilai dahulu oleh KPM sebelum kelulusan diberikan.

“Pengoperasian Kolej Vokasional bagi murid Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasional dan Diploma Vokasional Malaysia pula adalah secara bersemuka tanpa penggiliran mulai 9 Januari 2022,” katanya.

Mengulas lanjut, KPM berkata, bagi pengoperasian kolej matrikulasi (KM), pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka akan bermula pada 9 Januari 2022 untuk Program Matrikulasi Sistem Dua Semester dan Program Matrikulasi Sistem Empat Semester.

“Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Februari 2022, mengikut kalendar akademik yang sedang berkuat kuasa dan Murid KM juga IPG yang telah menerima vaksin lengkap sahaja dibenarkan kembali ke kolej atau kampus.

“KPM juga akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang terkesan dengan banjir atau dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi terlibat akan dimaklumkan pada 3 Januari 2022, setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi,” jelas kenyataan itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI