fbpx

‘Mereka jaga saya seperti permaisuri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis mengangkat mayat Mohd. Faizal yang maut dalam kemalangan di Kilometer 170, Jalan Jerangau-Jabor, Kemaman kelmarin.

KEMAMAN – Luluh hati seorang ibu apabila dua anak yang selama ini menjaganya seperti permaisuri sejak kematian suami­nya, maut apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 170, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Cheneh di sini kelmarin.

Kejadian pada pukul 4.30 petang itu mengorbankan Mohd. Faizal Shaari, 29, dan abangnya, Termizi, 37, apabila motosikal jenis Yamaha Lagenda yang mereka naiki bertembung de­ngan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari arah bertentangan.

Zaleha Latiff, 57, berkata, dia terlalu sedih kerana tidak me­nyangka anaknya yang sering menjaga kebajikannya pulang sebagai jenazah.

Katanya, sebelum kejadian, dua anaknya itu meminta izin untuk pergi ke sebuah bank berhampiran rumah mereka.

“Mereka ibarat tulang belakang saya untuk meneruskan kehidupan selepas kematian suami 15 tahun lalu. Mereka cuma bekerja kampung tetapi banyak membantu saya menguruskan rumah, malah melayan saya se­perti permaisuri.

“Setiap pagi, arwah Mohd. Faizal akan menyediakan sarapan dan bekal buat saya yang bekerja sebagai petugas pembersihan,” katanya ketika ditemui di Hospital Kemaman di sini semalam.

Tambahnya, dua beradik itu juga akan menyediakan minum petang setiap kali dia pulang kerja dan menjaganya dengan penuh kasih sayang ketika jatuh sakit.

Menurut Zaleha, arwah Termizi ada menunjukkan perubahan sikap apabila kerap berjaga malam untuk menunaikan solat tahajud sejak kebelakangan ini.

“Kini saya hanya ada seorang anak lelaki di rumah (Bandar Seri Bandi di sini), manakala dua lagi termasuk seorang anak perem­puan tinggal berasingan di negeri lain,” katanya.

Jenazah dua beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Seri Bandi di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superinten­dan Hanyan Ramlan berkata, siasatan mendapati, motosikal dinaiki mangsa dipercayai masuk ke laluan bertenta­ngan.

“Pada masa sama, sebuah kereta Perodua Myvi dinaiki dua pelajar Kolej Matrikulasi Pahang, Gambang menghala ke Jerangau, Dungun gagal mengelak lalu me­rempuh motosikal itu.

“Kedua-dua mangsa terseret sejauh kira-kira lapan meter, manakala kereta itu terbabas lalu terjunam ke dalam cerun,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI