fbpx

SKM kenal pasti 41 koperasi terjejas banjir di Pahang, Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengenal pasti sebanyak 41 premis melibatkan pelbagai sektor dan prasarana milik koperasi di Pahang dan Selangor terjejas akibat banjir.

Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Haron berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 24 koperasi di Pahang dan 17 koperasi di Selangor dikenal pasti terjejas teruk sekali gus layak menerima bantuan menerusi Tabung Kecemasan Koperasi SKM.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, kebanyakan premis yang dibangunkan oleh pihak koperasi di dua negeri berkenaan mengalami kerosakan sekali gus memerlukan kos yang tinggi untuk proses baik pulih.

“Kita dapati kebanyakan permis perniagaan, tapak tanaman dan struktur bangunan milik koperasi di dua negeri itu terjejas teruk akibat banjir. Berdasarkan maklumat, pejabat sebuah koperasi di Temerloh, Pahang juga didapati tenggelam semasa banjir baru-baru ini.

“Semua koperasi berdaftar yang terlibat dalam kejadian bencana alam boleh memohon Tabung Kecemasan Koperasi SKM sehingga RM30,000 berdasarkan kerosakan premis mereka. Ia bukan bersifat untuk menanggung kerugian koperasi, sebaliknya bantuan itu untuk membantu koperasi bangkit semula selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam Bersama Pengerusi Eksekutif SKM : 100 Tahun Gerakan Koperasi Di Malaysia di sebuah hotel di sini malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Saiful Adli Abu Bakar dan Pengarah SKM Kelantan, Zainudin Mohamed.

Mengulas lanjut, menurut Zazali, beliau berharap semua koperasi yang terlibat dalam sebarang kejadian bencana alam agar membuat permohonan bantuan kecemasan secara dalam talian melalui laman web SKM dengan segera.

Ujarnya, pihak koperasi hanya perlu memuat naik laporan polis dan gambar premis atau prasarana yang terjejas dalam kejadian bencana alam.

“Permohonan akan terus diserahkan kepada SKM di negeri masing-masing untuk tindakan pemantauan sebelum bantuan diberikan kepada koperasi terjejas mengikut kategori kerosakan yang dialami,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dalam satu kenyataan semalam berkata, kerajaan melalui SKM akan memperuntukkan bantuan permulaan sebanyak RM1 juta kepada koperasi-koperasi yang terjejas akibat banjir.

Menurutnya, nilai maksimum sebanyak RM30,000 akan diberikan kepada setiap koperasi yang layak dan ia tidak hanya terhad untuk premis koperasi yang terjejas banjir sahaja.

“Bantuan turut disalurkan untuk membiayai kerosakan serta kerugian prasarana di tapak pertanian, perladangan dan penternakan yang diusahakan oleh pihak koperasi yang terjejas.

“Selain itu, SKM juga membenarkan koperasi di negeri-negeri yang terjejas banjir untuk menangguhkan pengauditan akaun koperasi disebabkan kemusnahan dokumen-dokumen perakaunan akibat banjir,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI