fbpx

KWSP sokong henti pengeluaran skim i-Citra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KWSP.

PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyokong pemberhentian sebarang pengeluaran khas di bawah skim i-Citra agar masa depan persaraan pencarum tidak terus dikompromi.

KWSP melalui satu kenyataannya hari ini berkata, KWSP merupakan sebuah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.

“Walau bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam.

“Skala dan kesan pandemik Covid-19 yang tidak dijangka serta kejadian bencana alam baru-baru ini telah menolak perlindungan sosial semasa negara ke tahap maksimum dan pendekatan menggunakan simpanan KWSP untuk keperluan kecemasan pastinya akan memberikan impak yang teruk tatkala ahli sedang berhadapan dengan ketidakcukupan wang simpanan persaraan, ditambah lagi dengan ketidaktentuan lain seperti peningkatan kos penjagaan kesihatan.

“Skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada tahun 2020, diikuti oleh i-Citra pada bulan Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif ini telah diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi,” jelas kenyataan tersebut.

Setakat Oktober 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga skim pengeluaran ini, bersamaan 22 peratus daripada RM530 bilion pakej rangsangan yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

KWSP berkata, walaupun skim pengeluaran ini telah memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik dan PKP, ianya telah menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000, sememangnya tahap yang tidak dapat menjamin persaraan ahli.

Majoriti mereka yang telah membuat pengeluaran kecemasan daripada KWSP adalah dalam kalangan Bumiputera.

“Akibat daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus ahli Bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2.0 juta atau 25 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000, ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun.

“Selain daripada penyusutan pendapatan masa depan individu, KWSP juga bimbang ketirisan selanjutnya akan menjejaskan kedudukannya sebagai sebuah organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI