fbpx

Gotong-royong baiki jalan balak sejauh 14 kilometer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Orang Asli bergotong-royong membaiki kerosakan jalan balak di Pos Balar, Gua Musang. - Foto oleh AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Seramai 30 penduduk Orang Asli di Pos Balar di sini bergotong-royong membaiki laluan jalan balak yang rosak akibat hujan lebat semasa musim tengkujuh.

Ketua kumpulan penduduk, Kamal Alek, 36, berkata, inisiatif itu dilakukan bersama penduduk kampung sejak dua hari lalu membabitkan laluan rosak teruk sepanjang 14 kilometer.

Katanya, penduduk Orang Asli telah bertungkus-lumus membaiki jalan itu untuk kemudahan mereka keluar ke bandar Gua Musang.

“Jalan balak ini merupakan laluan utama penduduk Orang Asli di pedalaman untuk ke bandar Gua Musang sejak puluhan tahun lalu.

“Selepas hujan reda, kami bersepakat untuk membaiki sendiri jalan dengan mencangkul untuk meratakan tanah dan menggunakan kayu hutan untuk mengurangkan kerosakan jalan,” katanya.

Tambahnya, penduduk kampung yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong itu ialah dari Kampung Tidag, Kampung Perawas, Kampung Manjul dan Kampung Balar Lama.

Seorang penduduk Orang Asli, Mus Alang, 41, berkata, kebanyakan penduduk yang melakukan gotong-royong itu terdiri daripada pelbagai peringkat usia remaja sehingga golongan dewasa.

Katanya, mereka membantu secara sukarela membaiki jalan itu bagi memberi kemudahan kepada penduduk kampung.

“Kami berusaha membaiki kerosakan jalan balak meskipun prosesnya begitu sukar.

“Kami berharap kumpulan pacuan empat roda yang ingin melakukan aktiviti lasak ke kampung ini agar menangguhkan hasrat itu ketika musim hujan ini bagi mengelakkan lebih banyak kerosakan teruk,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI