fbpx

Lagu ‘bodoh’ Gayle jadi siulan dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAYLE

SINGLE debut pendatang baharu bernama Gayle dengan judul pelik, abcdefu barangkali antara karya paling ‘dungu’ untuk tahun 2021. Dungu atau bodoh, namun pada masa sama, sangat ‘beracun’ sehingga membuatkan sesiapa yang mendengar mudah dihipnosis.

Tidak mahu terlalu menyentuh soal penulisan lirik kerana kalau dikomen lebih tentang perihal itu, ulasan muzik ini mungkin tidak lepas untuk disiarkan.

Banyak perkataan yang tidak sesuai untuk dikongsikan kepada umum.

Lirik jujur, autentik

Bagaimanapun, ada sepotong nukilan lirik yang sangat mudah berhubung dengan sesiapa yang pernah putus cinta.

Bait lirik berbunyi ‘everybody but your dog’ membuktikan betapa tragedi cinta boleh membuatkan seorang menyumpah seranah, namun tidak kepada makhluk peliharaan yang banyak berjasa.

Tidak kisahlah anjing, kucing dan kendatipun haiwan-haiwan lain.

Gayle yang baru berusia 17 tahun mendarat dalam dunia muzik antarabangsa dengan cemerlang menerusi lagu tersebut.

Lagu tulisan remaja itu bersama dua penulis lain, Sara Davis dan David Pittenger membuktikan bahawa, sesiapa sahaja dalam era sekarang akan bertemu terowong cahaya dengan bantuan satu daya bernama TikTok.

TikTok membuatkan nama Gayle sekarang menjadi sebutan dunia hanya dengan sebuah karya. Kalau kena dengan gaya dan cara, tidak mustahil, dia mampu membina nama sebesar Billie Eilish.

Dari segi komposisi muzik, abcdefu diadun dengan cukup rencah. Petikan gitarnya sangat mengena dengan nukilan lirik dan Gayle berjaya menyampaikan lagu dengan menjadi dirinya sendiri.

Elemen tersendiri

Buat penulis secara peribadi, biarpun ada yang mengklasifikasikan abcdefu sebagai lagu ‘bodoh’, karya berkenaan juga memberi peringatan bahawa, itu sebuah karya jujur dan miliki elemen tersendiri.

Lagu yang kian mendaki carta popular global tersebut turut memberi definisi kepada sesiapa yang bergelar penyanyi atau komposer, kadang-kadang, tidak perlu bikin karya yang terlalu bersifat ‘deep’.

Cukup hanya dengan menjadi diri sendiri dan jujur dengan apa yang berlaku kepada sekeliling, cukup!

Nilai autentik yang terkandung dalam karya berkenaan sangat besar dan tidak mustahil akan diangkat ‘menjadi sesuatu’ untuk edisi Grammy Awards akan datang.

Buat Gayle, anda rock! Selamat datang ke dunia muzik arus perdana dan terus menjadi ‘unapologetically you’ (orang yang tak perlu meminta maaf).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI