fbpx

Kadar kitar semula meningkat 31.52 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reezal Merican (kiri) melihat hasil barangan kitar semula pada Majlis Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2021.

PUTRAJAYA – Kadar kitar semula kebangsaan tahun ini meningkat kepada 31.52 peratus berbanding sasaran 30 peratus, dengan jumlah barangan kitar semula mencecah 4.385 juta tan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kadar ini selari dengan sasaran kadar kitar semula yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2025.

Katanya, kitar semula menjadi salah satu bidang keutamaan di dalam RMK-12 iaitu melaksana Pembangunan Rendah Karbon, Bersih dan Berdaya Tahan.

“Pada tahun lalu, atas kesedaran dan sokongan semua pihak, Kadar Kitar Semula Kebangsaan berada pada tahap 30.7 peratus berbanding sasaran asal sebanyak 30 peratus.

“Sehubungan itu, ia memberi indikasi positif kepada kita berbanding dengan Kadar Kitar Semula Kebangsaan pada tahun 2013 iaitu hanya 10.5 peratus sahaja,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2021 di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau optimis kerana Malaysia berada di landasan yang betul dalam mencapai matlamat berhubung kitar semula asalkan ia dilaksanakan secara bersama.

“Hal ini kerana, saya melihat di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai contoh, sudah ada PBT yang terkehadapan dalam memperkukuhkan agenda kitar semula ini. Malah ada sebuah PBT ini, mencapai tahap 50 peratus kadar kitar semula.

“Justeru, program-program berimpak tinggi seperti Inisiatif Komuniti Sifar Sisa (ZeComm) di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu diperhebatkan.

“Inisiatif dengan pendekatan Separation at Source (SAS) ini dirangka bagi memudahkan dan membantu penduduk PPR menjalankan rawatan sisa makanan serta menjual barangan kitar semula melalui kaedah mendapatkan mata ganjaran dan penebusan mata ganjaran daripada hasil inisiatif tersebut,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif itu telah berjaya mengumpul sisa kitar semula sebanyak 122,592 kilogram (kg) dan sisa makanan berjumlah 25,696kg pada tahun 2019 hingga tahun ini.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI