fbpx

23 nelayan Vietnam ditahan, 5 tan hasil laut dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot nelayan warga Vietnam yang berjaya ditahan APMM Zon Maritim Miri petang semalam.

PETALING JAYA – Tindakan sebuah bot nelayan asing menceroboh dan mencuri hasil laut di perairan negara akhirnya membawa padah apabila ditahan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri, semalam.

Bot yang dikendalikan kira-kira 23 orang warga Vietnam itu ditahan kira-kira pukul 7.50 petang pada jarak lebih kurang 37 batu nautika barat laut Miri, Sarawak.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi Othman berkata, sebelum penahan tersebut dilakukan, pihaknya telah mengesan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan pada jarak lebih kurang enam batu nautika dari Kapal Maritim (KM) Pekan.

Menurutnya, setelah didekati, bot tersebut dipercayai nelayan asing Vietnam berdasarkan struktur fizikal dan nombor pendaftaran pada bot.

Bagaimanapun, bot tersebut bertindak cuba melarikan diri apabila dirapati bagi tujuan pemeriksaan dan geledah, namun berjaya dipintas serta ditahan.

“Pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Manakala 23 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 15 hingga 55 tahun juga telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Mengulas lanjut Md. Fauzi berkata, pemeriksaan lanjut telah menemui ikan campur anggaran 5,000 kilogram, peralatan menangkap ikan, serta bekalan diesel lebih kurang 2,000 liter.

Katanya, kesemua barang kemudiannya dirampas untuk tujuan siasatan dan keseluruhan rampasan termasuk bot adalah dianggarkan bernilai RM 1.2 juta.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI