fbpx

150,000 PATI pulang ke negara asal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN PATI yang pulang ke negara asal menerusi Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin oleh Jabatan Imigresen di KLIA, Sepang pada Julai lalu.

KUALA LUMPUR – Seramai 150,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara masing-masing menerusi Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Tanpa Izin oleh Jabatan Imigresen (JIM) sejak 21 Disember 2020 hingga 8 Disember 2021.

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, tiga negara yang mencatat jumlah tertinggi penghantaran PATI ialah Indonesia (77,627), Bangladesh (21,068) dan India dengan 19,087 orang.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada mana-mana PATI yang berada di Malaysia untuk pulang tanpa dikenakan tindakan pendakwaan.

“Mereka hanya perlu membayar RM500 dan boleh terus pulang ke negara asal. Bagi PATI yang masih belum berpeluang pulang, program rekalibrasi ini telah dilanjutkan sehingga bulan Jun tahun hadapan,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur di sini kelmarin.

KHAIRUL DZAIMEE

Khairul Dzaimee berkata, bagi PATI yang ingin diambil bekerja semula, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja masih berjalan sehingga 31 Disember tahun ini.

“Bagaimanapun, program rekalibrasi ini akan ditamatkan pada tahun hadapan dan hanya yang mendaftar di dalam portal imigresen akan diproses untuk diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Majikan akan menerima sebanyak 70 peratus daripada jumlah pekerja mereka yang telah mendapat kelulusan verifikasi di Jabatan Imigresen.

“Contohnya, daripada 100 bilangan pekerja yang didaftar, 70 daripadanya akan diberikan PLKS dan perlu membuat pemeriksaan FOMEMA, manakala baki 30 peratus lagi perlu mendapatkan kuota tambahan daripada Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia,” jelasnya.

Kosmo! pada 27 Julai lalu melaporkan,­ ribuan PATI dari Indonesia, Bangladesh dan India terpaksa beratur panjang dan menunggu selama berhari-hari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI