fbpx

Kejohanan e-Sukan tawar hadiah keseluruhan lebih RM40,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai menyertai pertandingan e-Sukan sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di KLCC semalam.

KUALA LUMPUR – Orang ramai berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik apabila menyertai pertandingan sukan elektronik (e-Sukan) sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pengurus projek e-Sukan, Nurul Aina Nor Azmi berkata, kejohanan yang bermula Khamis lalu dan berakhir hari ini menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM40,000.

Menurutnya, antara permainan e-Sukan yang dipertandingkan adalah FIFA yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM8,000, manakala bagi Mobile Legend Bang Bang (MLBB) pula sebanyak RM18,000.

“Bagi kejohanan MLBB kita telah menerima penyertaan daripada 64 kumpulan (empat orang setiap kumpulan), manakala bagi FIFA kira-kira 64 peserta telah mendaftar.

“Kejohanan FIFA telah bermula semalam dan akan berakhir esok (Ahad) bagi menentukan pemenang, begitu juga dengan MLBB,”katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Lebih menarik Nurul Aina berkata, kejohanan tersebut turut disertai beberapa kumpulan terkenal termasuk Home Bois, Mad Esports, Team Haw dan Suhaz Esports.

Mengulas lanjut Nurul Aina berkata, selain dua kejohanan tersebut, pihaknya turut menganjurkan pelbagai permainan e-sukan lain secara ‘freeplay’ antaranya ‘Racing Simulator’ dan ‘Astro Playroom (PS5)’ serta pelbagai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM14,000.

“Semua kejohanan ini diadakan di peringkat dalaman dan tidak melibatkan peserta luar negara. Kita mahu memberi fokus kepada pencarian bakat baharu untuk diketengahkan.

“Selain itu, kita juga mahu mengubah persepsi masyarakat sebelum ini kononnya e-Sukan tidak mampu berkembang baik terutamanya dalam kalangan ibu bapa,” katanya.

Tambah Nurul Aina, secara tidak langsung juga penganjuran e-Sukan ini dijadikan platform untuk rakyat Malaysia terutamanya golongan belia memupuk semangat perpaduan.

“Selain itu, acara ini juga memberi peluang kepada para pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman bermain permainan e-Sukan secara percuma,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI