fbpx

Dua pelabuhan di Pasir Gudang perlu dimodenkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasni Mohammad memakaikan pakaian istiadat kepada Datuk Bandar MBPG, Datuk Asman Shah Abd. semasa menghadiri Majlis Angkat Sumpah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang yang pertama di Dewan Muafakat Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor hari ini.

PASIR GUDANG – Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Langsat di sini perlu menjalani transformasi dan dimodenkan dengan penggunaan teknologi terkini bagi mengekalkan Pasir Gudang sebagai bandar tumpuan bagi sektor perindustrian dan pengangkutan

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, pembangunan itu perlu selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) termasuk penggunaan Internet of Things (IoT), ‘cloud computing’, ‘open data’ dan ‘big data analytics’.

Katanya, kedudukannya yang strategik merupakan peluang untuk bandar raya itu dibangunkan menjadi lokasi tumpuan ekonomi di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Ia berpotensi untuk memulih dan menambah baik peluang pelaburan dalam dan luar negara untuk menyumbang kepada kemajuan kawasan Pasir Gudang.

“Sudah tiba masanya, dua pelabuhan terpenting di Johor yang terletak dalam kawasan ini dibangunkan mengikut trend teknologi terkini selari dengan IR 4.0,” katanya ketika berucap pada Majlis Mengangkat Sumpah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), di sini hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Datuk Asman Shah Abd. Rahman dilantik sebagai Datuk Bandar Pasir Gudang yang pertama secara rasminya bermula hari ini.

Tambah Hasni lagi, Pasir Gudang perlu dibangunkan secara terancang dengan mengekalkan ciri persekitaran bandar hijau di samping mengutamakan sistem sosial yang menyeluruh.

“Trend pembangunan berasas teknologi tinggi telah berjaya memberi impak besar terhadap ekonomi global dan mengubah cara hidup penduduk walaupun berada dalam situasi pandemik.

“Kini telah tiba masanya MBPG menjadi pelopor dan pencetus pelbagai bentuk kreativiti dan inovasi dalam pembangunan khususnya memberi perkhidmatan bertaraf global kepada agensi, para pemegang taruh, dan rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan Pasir Gudang yang berkeluasan 35,957 hektar kini mempunyai seramai 576,577 orang penduduk.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI