fbpx

Jangan pandang rendah wanita lewat berkahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
HARRITH HISHAM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

TAK kahwin lagi ke? Terlalu memilih sangat tu.”

Itulah reaksi segelintir ma­s­yarakat luar terhadap wanita yang lambat berkahwin terutama apabila usia mereka mula memasuki 30-an.

Ramai yang berpendapat bahawa wanita yang mengutamakan kerjaya berbanding teman lelaki menyebabkan mereka  memiliki jangkaan yang tinggi dalam memilih pasangan.

Ada yang mendakwa wanita yang tidak berkahwin juga bakal alami pelbagai masalah dalam kehidupan.

Lazimnya, stigma dalam kalangan masyarakat di Malaysia ini sering berlegar dalam kalangan keluarga, rakan-rakan mahupun saudara-mara yang jauh.

Pakar Perhubungan dan Intim, Kamalia Kamal berkata, berkahwin lambat itu adalah perkara yang subjektif dan tiada individu yang ingin berkahwin lambat kerana ia merupakan fitrah manusia.

“Definisi berkahwin lambat ini tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk usia kerana setiap orang memiliki cara hidup yang berbeza.

“Ada yang rasa berkahwin di usia 25 itu lambat dan ada juga yang berpendapat kahwin di usia 28 itu terlalu awal. Saya percaya tiada individu yang ingin berkahwin lewat atau tak nak berkahwin kerana hidup berpasangan itu sudah menjadi fitrah manusia,” katanya.

Sementara itu, Kamalia menjelaskan bahawa stigma terhadap isu berkahwin lambat ini sudah lama menjadi norma dalam kehidupan masyarakat dan tidak boleh diubah melainkan diri sendiri.

“Tafsiran masyarakat kepada andartu atau wanita yang tidak berkahwin selalunya dikatakan akan menghadapi banyak masalah, menimbulkan banyak isu, serta cabaran hidup yang lebih susah.

“Kita tak boleh fikir sangat mengenai stigma masyarakat kerana ini adalah pilihan anda.

“Pada masa sama, memilih kerjaya juga harus dilihat sebagai keperluan bagi wanita supaya lebih stabil dan mempunyai sekuriti apabila sudah berkahwin,” ujarnya.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan sumber Manusia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, stigma masyarakat terhadap isu kahwin lambat juga dilihat semakin reda sejak kebelakangan ini dan mula diterima ramai.

“Masyarakat di Malaysia sudah mula berfikiran terbuka terhadap isu perkahwinan dan memandang wanita yang tidak berkahwin ini sebagai suatu personaliti yang kuat.

“Sekiranya ada yang masih memandang rendah, ia adalah berdasarkan corak pemikiran di tahap lama kerana perspektif untuk kita memandang seseorang itu perlu dilihat dari pelbagai sudut,” tambah beliau.

Fatimah berkata, empat aspek  utama perlu dilihat dari segi pemikiran, emosi, fizikal dan rohani sebagai panduan terhadap wanita yang tidak berkahwin.

“Sekiranya corak pemikiran belum lagi matang, emosi yang tidak stabil walaupun mempunyai fizikal dan rohani yang mantap, wanita tidak digalakkan untuk berkahwin kerana ditakuti akan berdepan dengan pelbagai masalah apabila berkahwin,” jelasnya lagi. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI