fbpx

Tidak ada cara kecuali ambil vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DJOKOVIC antara pemain yang berdepan kemungkinan tidak dibenarkan beraksi di Terbuka Australia kerana enggan mendapatkan suntikan vaksin. – AFP

SYDNEY – Pengarah kejohanan Terbuka Australia, Craig Tiley mengesahkan tiada pemain tenis yang akan ‘lolos’ menyertai saingan bertaraf Grand Slam jika masih enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 meskipun atas alasan masalah kesihatan.

Sebagai rekod, kejohanan berprestij yang akan dilangsungkan pada bulan depan itu meletakkan syarat ketat buat semua bintang tenis profesional yang mana hanya pemain yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan berada di Melbourne nanti.

Kata Tiley, setiap atlet perlu menunjukkan bukti bahawa mereka lengkap vaksinasi dan sekiranya mereka menggunakan masalah kesihatan sebagai alasan, mereka tetap tidak akan dibenarkan menyertai kejohanan ini.

“Bagi menjelaskan lagi sya­rat yang diletakkan oleh penganjur dan kerajaan, tiada mana-mana pemain yang akan dibenarkan bersaing pada Terbuka Australia melainkan mereka sudah lengkap mene­rima vaksin sepenuhnya.

“Mengenai ada laporan yang mengatakan bahawa ada sebilangan atlet yang akan diberi lampu hijau meskipun tidak lengkap vaksin seperti memiliki masalah kesihatan, ingin saya tegaskan bahawa berita itu tidak benar.

“Buat masa ini, peraturan yang ditetapkan adalah jelas dan saya harap semua pihak menghormati keputusan yang dilaksanakan.

“Apa yang pasti, kami akan meneliti sepenuhnya senarai pemain yang mahu bertanding pada kempen Terbuka Australia akan datang dan memaklumkan kepada umum sebelum proses undian dibuat,” katanya.

Sebelum ini, pemain No.1 dunia yang juga pemenang Grand Slam sebanyak 20 kali, Novak Djokovic dilaporkan masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 sekali gus dijangka terlepas daripada mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI