fbpx

Isu sejuta pengikut, pelakon jangan salah tafsir – Rosyam Nor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROSYAM NOR

KUALA LUMPUR – Penerbit dan aktor berpengalaman, Datuk Rosyam Nor menegaskan peluang setiap artis membintangi drama atau filem tempatan tetap terbuka luas memandangkan syarat sejuta pengikut hanya digunapakai saluran penstriman atau penyiar Over-The-Top (OTT).

Isu sejuta pengikut sebagai syarat pemilihan pelakon telah menimbulkan banyak salah tafsir sehingga menyalahkan stesen televisyen, sedangkan Rosyam menerusi syarikat produksi miliknya, Suhan Movies & Trading tidak pernah menerima arahan sedemikian selain bebas memilih hero dan heroin bersandarkan bakat.

“Saya sedar ramai yang merungut sebaik syarat sejuta ‘followers’ itu diperkatakan namun kita perlu jelas dan faham kerana ia digariskan saluran penstriman OTT yang memasarkan produk mereka dengan lebih meluas, bukan untuk siaran domestik sahaja.

“Kebanyakan pengendali pula berpangkalan di luar negara yang tentu saja kurang mengenali pelakon Malaysia. Jadi ejen mereka menggunakan kaedah memilih bakat tempatan popular untuk drama atau filem mereka bersandarkan jumlah pengikut laman sosial.

“Dari pemahaman pihak tersebut, andai pelakon itu popular, pasti paling sedikit pun pengikut aktres atau aktor berkenaan seramai sejuta. Itu syarat pihak tersebut, bukannya stesen televisyen kita. Cuma bila sudah salah tafsir, ramai menyalahkan pula pihak stesen tanpa usul periksa.

“Hakikatnya saya sendiri masih bebas pilih hero dan heroin berbakat tanpa bersandarkan pengikut Instagram. Drama terbaru Suhan Movies pun panggil pelakon baharu yang punya 200,000 ‘followers’. Saya yakin penerbit lain pun tidak terima apa-apa arahan daripada stesen penyiar.

“Sebagai penggiat industri seni, kita pun jangan cepat melatah tanpa usul periksa. Kalau tengok sekarang kerja penggambaran pun sudah rancak, ramai saja muka baru atau pelakon lama yang masuk set. Seelok-eloknya jangan buat kenyataan kalau kita sendiri tak kaji,” katanya.

Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Perintis Usanita – Penjenamaan dan Pendigitalan Bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang dirasmikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

OTT adalah penyedia perkhidmatan platform penstriman seperti Netflix, iQiYi International, Hulu Japan, Viu dan Disney+Hotstar.

Terdahulu, pelakon Amerul Affendi dan Zahiril Adzim secara berseloroh mahu berkongsi membeli pengikut demi ‘menurut’ kemahuan stesen televisyen.

Nam Ron pula pernah memuat naik foto ala-ala separuh bogel sebagai respons sinikal berhubung isu berkenaan.

AMERUL dan Nam Ron, antara dua pelakon terkenal tanah air yang terkesan dengan isu sejuta pengikut.

Bercakap tentang kolaborasi dengan Usanita, bintang KL Gangster itu memulakan projek perintis dalam membantu usahawan kecil dan sederhana dengan menjadi duta produk mereka secara percuma do bawah Program Perintis Usanita.

Mereka akan memilih 50 usahawan daripada 500 calon yang menepati syarat untuk menggunakan gambar aktor tersebut bagi tujuan promosi menerusi konsep penjenamaan dan
pendigitalan.

Katanya, matlamat yang digerakkan bagi membantu golongan pengusaha juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat.

“Saya juga memulakan perniagaan dari bawah, jadi saya memahami cabaran yang perlu ditempuhi dalam memastikan produk atau perkhidmatan sentiasa berkembang.

“Apabila Usanita turut mempunyai visi sama, kami laksanakan kaedah yang diharap dapat melonjakkan lagi promosi mereka dengan Kita mulakan dulu konsep saya sebagai duta untuk produk 50 pengusaha terpilih.

“Secara tidak langsung, program yang turut meraih sokongan Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini juga membantu usahawan memperkasakan semula pasaran terutama di dalam talian.

“Dalam situasi semasa yang disebabkan pandemik global ini, saya secara peribadi mahu membantu peniaga lain untuk bangkit sekali gus sebagai tanda terima kasih di atas sokongan ramai sejak dulu,” katanya lagi.

Menerusi program tersebut, setiap usahawan terpilih berpeluang menggunakannya sebagai duta selain meletakkan gambar aktor disegani ramai di pek barangan mereka.

Katanya lagi, bagi berkongsi pengalaman serta ilmu perniagaan, saluran YouTube Suhan Channel menjadi wadah untuknya membantu insan lain.

Terkini, biar sibuk menguruskan perniagaan, Rosyam tetap aktif berlakon malah pada usia menginjak 54 tahun, aksinya turut meraih perhatian penerbitan luar negara.

Pelakon Kaabali itu berkongsi layar dengan Louis Koo dalam filem francais popular, G Storm yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 31 Disember 2021. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI