fbpx

Shaza Bae dapat pengalaman mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAZA BAE

MEMBESAR dalam dunia serba moden membuatkan sebahagian daripada kita kurang mempercayai perkara mistik atau barangkali enggan dibelenggu perasan takut jika terlampau taksub.

Bagi anak seni seperti pelakon yang kerap menjalani penggambaran di merata lokasi, sensitiviti setiap destinasi disinggahi tetap menjadi keutamaan.

Mungkin hanya mereka yang dianugerahkan pancaindera keenam atau ‘six sense’ dapat merasakan sesuatu dan dibukakan hijab.

Pelakon, Shaza Bae antara penggiat seni yang pernah berdepan momen menakutkan ketika terbabit dalam penggambaran, terbaharu menerusi naskhah seram komedi, Jangan Ganggu Jodohku.

Biarpun sudah beberapa bulan berlalu, kenangan tersebut tetap tersimpan kemas dalam ingatkan, pada masa sama mengingatkannya untuk lebih berwaspada.

Kata pemilik nama sebenar Shaza Nuriman Mohamad Zamri, 26, itu, ketika kejadian dia perlu menjerit dalam sebuah adegan tetapi suaranya ‘terputus’ selepas menyedari seperti ada sesuatu menarik tangannya.

“Saya memang tak boleh melupakan kejadian yang berlaku ketika penggambaran untuk babak episod pertama membabitkan sesi di atas pelamin. Sebelum itu saya baru selesaikan beberapa babak berat lain.

SELAIN berlakon, Shaza juga aktif sebagai pengacara.

“Ketika penggambaran disambung selepas Maghrib, badan saya sudah rasa tak sedap dan seram sejuk, namun saya ingat sebab kepenatan.

“Bila babak jerit, setiap kali nak ulang suara macam tersekat sampai kru bawa saya ke bilik lain.

“Memang rasa sayu semacam. Saya menangis tersedu-sedu, manakala seorang kru wanita pula meracau. Melihat keadaan semakin melarat, rakan lain bacakan ayat kursi.

Penggambaran terpaksa dihentikan.

“Kiranya ini pengalaman ‘mahal’ yang kami semua lalui sendiri Selama ini kita jaga tindak tanduk dan pertuturan di tempat orang, tapi benda nak jadi sebab selepas semua berakhir, kami dimaklumkan ada orang berubat buang saka di kediaman berhampiran,” katanya.

Secara ringkas, plot naskhah berkisar mengenai Aliza, seorang wanita yang boleh melihat roh dengan bantuan jin bernama Abu. Abu sebenarnya ‘peneman’ yang jatuh cinta terhadap Aliza sejak kecil.

Drama bersiri 24 episod itu sudah mula bersiaran menerusi slot MegaDrama Astro Ria bermula 29 November lalu.

SHAZA BAE menyifatkan pengalaman bekerja bersama Amerul Affendi serta ramai pelakon hebat dalam setiap naskhah drama akan meningkatkan lagi persembahan lakonannya.

Tingkat lakonan

Menerusi drama yang menyaksikan gandingannya dengan Amerul Affendi, Aloy Paradok, Yusuf Bahrin dan Azizah Mahzan itu, Shaza mengakui teruja membawakan watak gadis yang terbuka hijab.

Gadis yang seakan-akan disumpah andai tidak menerima saka milik generasi sebelumnya itu turut disukai jin yang sentiasa mengawasi kehidupannya.

Bersandarkan novel popular, Shaza mengakui kisah masyarakat yang dibentangkan dalam bentuk santai tersebut menghadirkan satu lagi kenaikan graf lakonannya.

“Banyak babak saya dirasuk dan berubah kepada pelbagai karakter seperti nenek, Abu serta mak cik lempeng. Ada juga dalam satu babak ketiga-tiga watak tersebut muncul serentak.

“Bayangkan, bukan saja berguling-guling atas rumput yang ada tahi kucing, saya kena menangis bersungguh-sungguh bagi tiga babak berturut-turut.

“Agak meletihkan, namun sangat berbaloi selepas melihat hasilnya.

“Cuma semua ini berkat sokongan semua yang terbabit di set termasuk pengarah, Jamal Khan dan pelakon senior lain yang banyak bagi tunjuk ajar serta semangat.

“Sebenarnya pengarah minta saya tonton sebuah filem Tamil untuk dijadikan rujukan. Dari situ saya dapat visualkan watak dan perwatakan Aliza dengan lebih jelas,” ungkap Shaza ceria.

SEBUAH babak lakonan Shaza bersama Aloy Paradoks dalam naskhah Jangan Ganggu Jodohku

Pakej saja tak cukup

Terdahulu, nama Shaza yang juga Dewi Remaja 2019/20 semakin menyerlah dalam drama Tundukkan Playboy Itu, Perempuan Tanpa Dosa dan Marry Me Senorita.

Cantik, bijak dan berbakat besar, sudah tentu mampu menjadi pakej yang meletakkan pelakon merangkap pengacara itu berada pada tahap selesa.

Namun katanya, pakej saja tidak mencukupi jika tidak disertakan semangat juang tinggi, selain sentiasa sanggup belajar perkara baharu.

“Saya bertuah dikelilingi mereka yang saling memberikan sokongan dan pada masa sama menyuntik semangat ketika situasi pandemik meninggalkan impak kepada seluruh masyarakat sejagat.

“Ibaratnya kita semua bangkit dengan semangat jitu, begitu juga penggiat seni seperti kami yang dapat kembali bekerja.

“Sekarang adalah masa untuk melipatgandakan usaha tetapi tetap harus berwaspada. Andai diberi ruang, saya mahu terus bekerja selain mencabar diri meneroka watak segar lain.

“Saya sedia menggalas tanggungjawab lebih berat. Seronok berlakon, biarpun persediaan masuk lokasi bukan mudah. Paling penting mental kena kuat. Perkara sebegini yang orang tak nampak,” kongsi anak seni serba boleh itu.

SELEPAS menerima banyak pujian menerusi drama Tundukkan Playboy Itu, Perempuan Tanpa Dosa dan Marry Me Senorita, Shaza kini meraikan kerja lakonannya menerusi sebuah komedi santai yang berjudul, Jangan Ganggu Jodohku.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI