fbpx

Pasukan Petugas Khas Siasatan siasat dakwaan Tommy Thomas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Khas Siasatan bagi menyiasat dakwaan dalam buku bertajuk My Story: Justice in the Wilderness hasil tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, penubuhan pasukan petugas ini telah dipersetujui pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Oktober lalu.

Beliau berkata, pasukan ini ditubuhkan bagi membuat kajian awal berhubung dakwaan-dakwaan yang ditulis dalam buku berkenaan.

“Dakwaan-dakwaan ini termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman, pendakwaan terpilih dan sebagainya.

“Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya, pasukan itu akan diketuai Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak dan bekas Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Seri Fong Joo Chung serta turut disertai lima yang lain.

Wan Junaidi berkata, mereka adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Hashim Paijan dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Junaidah Kamaruddin.

Menurutnya, tiga ahli lain termasuk bekas hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Jagjit Singh; peguam, Datuk Shaharudin Ali dan peguam, K. Balaguru. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI