fbpx
Anggota bomba menurunkan Wan Mohamad Sabaruddin yang melambung ke atas bumbung sebuah bengkel di Jalan Permatang Piah - Kampung Kolam, Pak Badol dekat Kota Bharu hari ini. - Foto MEDIA SOSIAL

[VIDEO] Melambung sampai atas bumbung bengkel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK – Seorang pembantu kedai cedera parah apabila melambung ke atas bumbung sebuah bengkel selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Permatang Piah-Kampung Kolam, Pak Badol di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi itu, mangsa, Wan Mohamad Sabaruddin Wan Zakaria, 19, patah paha kiri dan tangan kiri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan mendapati, semasa kejadian sebuah kereta jenis Honda Civic dalam perjalanan dari Melor menghala ke  Kampung Tasek Pauh, Selising di Pasir Puteh.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai cuba memotong sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

“Mangsa yang tiada lesen memandu sedang menunggang motosikal jenis Yamaha LC berada di laluan sebelum dirempuh kereta tersebut.

“Insiden itu menyebabkan mangsa melambung ke atas bumbung sebuah bengkel di sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Shuhaimi, mangsa yang parah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk rawatan.

Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian membuat pemeriksaan terhadap pemandu kereta, namun berlaku pergelutan.

Katanya, pemeriksaan pada tubuh badan lelaki itu menemui dadah dipercayai heroin seberat tiga gram dan 102 biji pil kuda bernilai RM3,020.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod kes dadah,” katanya.- K! ONLINE

POPULAR