fbpx

Keputusan rayuan SRC Najib tetap berjalan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Datuk Seri Najib Tun Razak

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini memberikan gambaran bahawa prosiding keputusan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kes dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta,
akan berjalan seperti yang dijadualkan.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Rahman yang mengetuai panel tiga hakim berkata, keputusan tersebut itu boleh dilakukan sama ada secara fizikal atau secara atas talian.

“Esok tetap esok, belum ada sebarang petunjuk untuk keputusan esok ditangguhkan! Esok pun mahkamah boleh beri keputusan secara online mengikut Seksyen 15 Akt Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964. Esok hanya untuk bacakan keputusan sahaja, bukannya untuk dengar hujahan. (Pendengaran) hujahan sudah selesai dan ditutup Mei lalu. Kalau seorang sahaja peguam hadir ke mahkamah pun tidak mengapa,” kata hakim itu.

Hakim Abdul Karim berkata demikian selepas peguam Harvinder Singh Sidhu memohon prosiding pendengaran permohonan memasukkan bukti baharu hari ini dan keputusan rayuan Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. esok ditangguhkan.

Terdahulu, peguam terbabit memohon penangguhan tersebut selepas seorang lagi peguam Najib didapati postif Covid-19 selepas menghadiri majlis Sabtu lalu.

Ujian kendiri turut dilakukan kepada ahli-ahli pasukan peguam yang lain dan kesemua peguam termasuk peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Sahfee Abdullah dan keputusan mereka negatif.

Selain hakim Abdul Karim turut bersidang ialah dua lagi panel hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Sebelum ini, prosiding rayuan tersebut telah berlangsung dihadapan panel-panel itu selama 15 hari dan berakhir pada 18 Mei lalu.

Pada 24 November lalu, Najib gagal dalam permohonannya di Mahkamah Rayuan  untuk menangguhkan tarikh keputusan di Mahkamah Rayuan di sini bagi rayuan sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya membabitkan kes dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta yang dijadualkan berlangsung 8 Disember.

Perkara itu dimaklumkan melalui surat yang ditandatangani Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd. Khairi Haron  kepada Najib, firma guaman Tetuan Shafee & Co. dan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI