fbpx
PEMUDA itu pelik neneknya masih ada di rumahnya sedangkan telah meminta izin untuk pulang ke kampung. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Hidup tak tenteram dikacau saka tak bertuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh LIYANA RAMLI

KEBANYAKAN orang dahulu, suka membela atau memelihara pendamping atau saka bertujuan untuk menjaga harta dan rumah daripada dimasuki penceroboh.

Biarpun mengetahui perkara itu adalah khurafat dan mendatangkan syirik kepada Allah, tetapi ramai yang terjerumus ke dalamnya disebabkan sifat tamak dan mementingkan diri.

Namun terdapat juga kes seseorang diganggu saka yang tidak bertuan dan entah dari mana datang ‘benda’ tersebut.

Itu yang berlaku kepada seorang pemuda bernama Rizal Mohd. Rahim yang hidupnya menjadi tidak keruan akibat sering diganggu kelibat saka tersebut.
——————————————————————————————————————————————————-
SAKA atau pendamping cukup sinonim dengan masyarakat Melayu sejak zaman dahulu yang kononnya bertujuan untuk menjaga keluarga dan harta.

Seorang pemuda, Rizal Mohd. Rahim, 30, berkongsi kisah seram yang menghantui dirinya akibat diganggu oleh pendamping belaan yang tidak diketahui siapakah tuannya.

Katanya, dia mula diganggu makhluk itu selepas meminta bantuan neneknya untuk menjaganya ketika sakit akibat kemalangan yang menimpa dirinya sewaktu berumur 23 tahun.

Jelasnya, setelah keadaannya beransur pulih, neneknya meminta izin untuk pulang ke kampung, tetapi pada hari itu berlaku kejadian aneh apabila dia melihat kelibat neneknya menekan hujung ibu jarinya.

Dalam keadaan separuh sedar, Rizal bertanya, bukankah neneknya sudah pulang ke kampung?

“Nenek kata nak balik kampung?, Kenapa nenek tekan ibu jari kaki saya?,” katanya kepada wanita tua yang kelihatan sama persis seperti neneknya.

Selepas itu katanya, dia terus tersedar dan bergegas ke ruang tamu rumahnya.

“Di ruang tamu cuma adik lelaki dan saya terus bertanya tentang keberadaan nenek. Katanya, nenek saya sudah pulang lima jam lepas.

“Disebabkan keadaan badan saya sangat lesu ketika itu, saya mengajaknya untuk temankan saya tidur di dalam bilik. Kebetulan, apabila baring, posisi katil saya memang menghadap cermin.

“Saya nampak ada kelibat putih yang mahu masuk ke dalam badan, tetapi pada waktu itu, saya tidak dapat melawan balik kerana diri rasa seperti ditekan,” katanya.

Katanya, dua kali dia melihat lembaga itu mencuba untuk memasuki badannya dan dia seakan menjerit meminta tolong daripada adiknya.

“Apabila saya lihat melalui cermin lembaga untuk cuba memasuki badan saya lagi. Saya menjerit meminta tolong, tetapi pelik kerana adik tidak mengendahkan saya.

“Saya rasa macam ada sesuatu menyerap masuk ke dalam badan lalu tersedar. Saya menjerit dan akhirnya adik mendengar suara saya,” katanya.

RIZAL Sering diganggu gangguan mistik menyebabkan dia sukar tidur malam selain berasa ketakutan.

Rizal berkata, adiknya tidak nampak kelibat putih yang seakan memasuki tubuhnya.

Jelas Rizal, sejak itu, dia selalu mengalami mimpi buruk seperti dibelit ular hitam, jatuh daripada bangunan dan sebagainya.

Katanya, badannya selalu rasa lesu serta tak bermaya dan paling teruk selalu rasa tidak khusyuk dalam solat.

Bukan itu sahaja, kadang-kadang apabila dia duduk bersendirian di rumah, dia sering melihat kelibat lembaga hitam seakan memperhatikan dirinya.

“Kadang-kadang sewaktu makan di meja, saya ternampak seakan-akan ada seseorang yang sedang memerhatikan saya dari tangga rumah,” katanya.

Menurutnya lagi, keluarganya sudah menetap di rumah itu hampir 10 tahun dan sering mengalami gangguan-gangguan mistik.

“Dahulu, sewaktu tinggal di rumah lama, banyak juga gangguan mistik yang dialami, sehingga ada jiran-jiran memberitahu nampak seperti nenek saya duduk di luar rumah.

“Saya pun sebenarnya tak faham apa yang berlaku kerana waktu itu nenek berada di kampung,” katanya.

Menurutnya, dia pernah berubat dengan pengamal perubatan Islam, tetapi dirinya masih belum pulih sepenuhnya.

“Saya ada juga berjumpa dengan orang yang pandai berubat. Kata mereka, makhluk yang berdamping dengan saya ialah saka kepunyaan nenek.

“Tetapi, saya rasa pelik dan tidak percaya kerana nenek saya masih hidup. Setahu saya, saka akan berpindah milik kalau tuannya sudah meninggal dunia,” katanya.

Ujarnya, dia kini masih dalam proses untuk membuang saka yang menghantui dirinya kerana tidak tahan diganggu.

“Saya harap proses membuang saka ini dipermudahkan kerana sudah tidak sanggup lagi menanggung kesakitan, tambahan perkara ini bercanggah dengan hukum Islam,” katanya.
———————————————————————————————————————————————————-
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN