fbpx

Vellfire, lori tertimbus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tertimbus di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam.

CAMERON HIGHLANDS – Dua buah kenderaan tertimbus hampir 50 meter dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini petang semalam.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan sebuah lori membawa muatan sa­yur.

Sehingga pukul 8 malam tadi, polis mengesahkan identiti salah seorang mangsa yang terperangkap sebagai Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang merupakan pemandu lori sayur dan usaha menyelamat mangsa lain yang tertimbus giat dilakukan.

Bagaimanapun, nasib dan jumlah mangsa yang terperangkap di dalam ken­deraan Toyota Vellfire masih belum diketahui.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati, lori berkenaan dalam perjalanan membawa muatan sayur dari Cameron Highlands ke Ipoh.

Katanya, pasukan penyelamat berjaya mengesan kedudukan lori berkenaan dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan oleh pasukan bomba.

“Daripada maklumat awal, terdapat seorang mangsa iaitu lelaki berusia 31 tahun yang juga pemandu lori terperangkap dalam runtuhan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Menurut Mior Faridalathras, pa­sukan penyelamat menggunakan dua buah eskavator untuk mengorek tanah di lokasi kejadian selain bantuan jentera daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands.

“Pasukan penyelamat berjaya mengesan ‘kepala’ lori dalam runtuhan berkenaan,” tambahnya.

Kata beliau, bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digunakan untuk membuat rondaan udara menggunakan dron.

“Kita mahu lihat keadaan pergerakan tanah dari udara. Kalau ada pergerakan, ia akan berbahaya kepada pasukan penyelamat,” katanya.

Turut berada di lokasi memantau gerakan mencari ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Perak, Azmi Osman.

Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Shaharuddin Tuan Ali berkata, terdapat mangsa di dalam kenderaan yang terperangkap dan operasi mengeluarkan mangsa dilakukan melibatkan pelbagai agensi.

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan keadaan tanah runtuh di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands semalam.

Menurut beliau, pasukan penyelamat berjaya mengesan kedudukan lori yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kilometer 27.1, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley pada pukul 5 petang semalam.

“Usaha mengeluarkan mangsa sedang dijalankan oleh Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

“Bantuan sebuah jentolak juga tiba di lokasi kejadian bagi membantu operasi mengalihkan tanah yang menutup jalan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, laluan tersebut tidak selamat untuk dilalui oleh semua kenderaan dan masih dikawal ketat oleh pihak konsesi.

“Kawasan terlibat dalam kejadian runtuhan tanah di Kilometer 27.10 itu adalah sepanjang 100 meter.

“Kejadian dipercayai ekoran hujan berterusan yang menyebabkan hakisan tanah,” katanya.

Menurut beliau, pemantauan dari semasa ke semasa sedang dijalankan JKR Daerah Kinta dengan kerjasama pihak konsesi jalan Persekutuan.

Ini merupakan kejadian tanah runtuh terbaharu di laluan me­nuju ke Cameron Highlands dari Perak selepas beberapa siri kejadian sebelum ini.

Pada 16 September, seorang warga emas maut, manakala dua ahli keluarga cedera dalam kejadian tanah runtuh di Sungai Palas menghala ke jalan utama Brinchang di sini.

Dua hari kemudian, satu lagi kejadian tanah runtuh dilapor berlaku di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands menyebabkan laluan di Seksyen 43.9 ditutup sepenuhnya kepada semua aliran trafik jalan raya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI