fbpx

Amah Indonesia terlepas tali gantung bunuh bayi sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Welmince selepas terlepas tali gantung di Mahkamah Tinggi dan dihukum penjara dua tahun mengikut Seksyen 304A kerana menyebabkan kematian dengan cuai terhadap bayinya sendiri

SHAH ALAM – Seorang amah warga Indonesia menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung selepas dakwaan membunuh bayinya sendiri ditukar kepada menyebabkan kematian dengan cuai di Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menjatuhi hukuman maksimum penjara dua tahun mengikut Seksyen 304A kepada Welmince Alunat,40, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan pindaan itu pada prosiding keputusan akhir kes pendakwaan.

Perintah penjara itu diarahkan bermula dari tarikh tangkap pada 22 Ogos 2019 sekaligus membolehkan tertuduh dibebaskan hari ini.

Berdasarkan pertuduhan asal, Welmince didakwa membunuh bayinya yang baru dilahirkan di dalam bilik mencuci dan menjemur pakaian di Jalan Cempaka, Taman Cempaka, Ampang dekat sini pada pukul 7 pagi, 22 Ogos 2019.

Sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohd. Yazid dalam penghakiman menegaskan terdapat beberapa isu dan senario yang diambil kira termasuk isu sama ada bayi itu mati dalam perut atau mati selepas dia dilahirkan.

“Peguam cuba mengemukakan tiga teori berasaskan kepada jurnal perubatan dan telah dicadangkan tetapi dalam kes ini mahkamah menerima keterangan SP9 (saksi pendakwaan kesembilan, Ketua Unit Forensik Hospital Ampang, Dr. Kamaruzaman Abd. Karim) berasaskan ujian paru-paru yang dibuat.

“Adalah satu amalan diamalkan oleh doktor dengan selepas bedah siasatan dilakukan dan paru-paru diletakkan dalam air walaupun sudah disimpan dalam tempat beku, ia masih terapung. Isunya, senario sebegini mahkamah mendapati huraian satu di bawah Seksyen 299 Kanun Keseksaan terpakai dan boleh terjumlah kepada mematikan orang secara salah,” katanya.

Pada prosiding itu, Peguam S. Selvi mewakili tertuduh dalam mitigasi menjelaskan tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak di Indonesia menyesal dengan tindakan gopoh dan sanggup menerima pengajaran dan hukuman atas perbuatannya itu.

“Tertuduh masuk ke negara ini menggunakan jalan sah dan mempunyai permit daripada 30 Ogos 2017 sehingga 30 Ogos 2019. Dia mahu balik ke negaranya bersama bayi dan wang gaji RM10,000 yang disimpan oleh majikannya tetapi malangnya kejadian itu berlaku lapan hari sebelum kontraknya tamat,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Yazid ketika mencelah rujukan kes dibuat Selvi berkata, tindakan diambil amah terbabit dilakukan secara tergopoh-gapah kerana takut hubungannya dengan seorang lelaki Bangladesh diketahui suaminya yang berada di Indonesia.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ariff Muzammil Wan Mohamed bersetuju dengan fakta dan dapatan yang dibentangkan oleh mahkamah apabila mendapati wujud kegopohan sehingga menyebabkan kematian pada bayi itu.

“Yang Arif percaya kes ini berasal daripada hubungan sulit tertuduh dengan seorang (lelaki) Bangladesh. Tindakan tertuduh yang menyembunyikan dirinya hamil tanpa pengetahuan tuan rumah sendiri sehingga dia melahirkan dan terbongkar di hospital. Maka, saya percaya tidak ada hukuman melainkan hukuman maksimum,” ujarnya.

Seramai 17 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding kes tersebut.

Sementara itu, Welmince yang ditemani wakil daripada Kedutaan Indonesia ketika ditemui selepas prosiding tersebut mengakui sedih dengan apa yang berlaku dan akan terus pulang ke kampung halamannya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kejadian berlaku ketika wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah itu melahirkan bayi berkenaan di rumah majikannya.

Difahamkan, selepas melahirkan bayi itu, tertuduh kemudian memijak anaknya sebelum mangsa dimasukkan ke dalam baldi dengan keadaan kepalanya di bawah dan kaki di atas bagi menyembunyikan kelahiran bayi berkenaan daripada pengetahuan majikannya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI