fbpx

Pembuli sekolah di Perancis berdepan hukuman penjara 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelaku yang menyebabkan mangsa buli membunuh diri atau melakukan cubaan bunuh diri boleh dipenjara sehingga 10 tahun di bawah rancangan baharu undang-undang Perancis. - Understood.org

PARIS – Pelajar sekolah yang membuli pelajar lain sehingga mangsa mengambil tindakan bunuh diri atau melakukan cubaan bunuh diri boleh dipenjara sehingga 10 tahun di bawah rang undang-undang baharu yang sedang dipertimbangkan di Perancis, lapor laman berita MailOnline semalam.

Parlimen negara itu kelmarin memeriksa draf rang undang-undang tersebut yang mendapat sokongan daripada Menteri Pendidikan, Jean-Michel Blanquer.

Selain menambah sumber pencegahan dan pendidikan, rang  undang-undang itu akan menghukum jenayah baharu yang dinamakan  ‘buli di sekolah’ jika diluluskan.

Kesalahan itu akan membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga 45,000 euro (RM215,482) bergantung kepada keseriusan kes dan usia pelaku.

Dalam kes yang melibatkan mangsa membunuh diri atau melakukan cubaan bunuh diri, hukuman penjara adalah  sehingga 10 tahun.

“Kami tidak akan sesekali membiarkan kehidupan anak-anak kami hancur,” kata Blanquer semasa perbahasan draf undang-undang itu.

Beberapa kes buli yang berakhir dengan tragedi bunuh diri telah menjadi tajuk utama di Perancis pada tahun ini, termasuk kes bunuh diri seorang gadis berumur 14 tahun di wilayah  Alsace, timur negara itu  pada Oktober lalu.

Mangsa dibuli  selepas mengaku kepada rakan sekelas bahawa dia merupakan seorang lesbian.

Pada Mac lalu pula, mayat seorang lagi gadis berusia 14 tahun yang hanya dikenali sebagai Alisha ditemui di Sungai Seine, Paris.

Dia telah dibuli dengan teruk oleh murid-murid lain selepas gambar dia memakai pakaian dalam dicuri daripada  telefon bimbitnya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI