fbpx

Konsep penginapan alam semula jadi mendamaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGINAPAN di JRF, Lenggeng menawarkan lapan bilik bertaraf hotel empat bintang untuk keselesaan pengunjung

SELEPAS hampir dua tahun berkurung di dalam rumah ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai kini kembali menjalani hidup normal dengan prosedur operasi standard ditetapkan.

Sewaktu PKP, segala aktiviti riadah secara berkumpulan tidak dibenarkan sama sekali, sekali gus membuatkan ramai yang rindukan suasana alam semula jadi.

Jadi, tidak hairanlah ketika ini destinasi pelancongan yang terletak berhampiran alam semula jadi menjadi pilihan ramai.

Salah satu lokasi penginapan yang menawarkan pengalaman bermalam sambil dikelilingi alam adalah di Jelatok Retreat Farm (JRF) Lenggeng, Negeri Sembilan.

Terletak kira-kira 5 kilometer dari pekan Lenggeng, JRF sangat sesuai buat mereka yang mendambakan ketenangan fikiran serta jauh daripada kesibukan kota.

Pengurus JRF, Sharifah Laila Hana Syed Mansur berkata, tempat itu berkonsepkan penginapan santai dan
kembali kepada alam semula jadi.

“Kami mula beroperasi secara rasmi sejak dua bulan lalu selepas berakhirnya PKP. Selepas dibuka, tempat ini menjadi pilihan keluarga dan pelawat berkumpulan.

“JRF dikelilingi alam semula jadi, memandangkan lokasi kami terletak bersebelahan Hutan Lipur Lenggeng,” katanya ketika ditemu bual Horizon baru-baru ini.

Uniknya, kawasan seluas 3.2 hektar itu dibangunkan sendiri oleh bapa Sharifah Laila Hana yang merupakan bekas jurutera, manakala ibunya seorang penggemar pokok.

Bapanya terlibat sepenuhnya dalam membina tempat penginapan dan kemudahan di situ, sementara ibunya bertanggungjawab menghias landskap di persekitarannya.

“Waktu mula-mula beli tanah ini, kami tidak tahu apa yang menarik di sini. Selepas itu, baru tahu ia mempunyai pemandangan sangat menarik.

“Dari situ, kami membina rumah sebelum membuka sebuah kafeteria. Disebabkan ramai yang ingin bermalam, maka kami membangunkan tempat penginapan,” ujarnya.

BERSANTAI di tepi kolam renang berlatarbelakangkan alam semula jadi membuatkan anda lupa dengan kesibukan harian.

Sharifah Laila Hana memaklumkan, JRF menawarkan lapan bilik bertaraf hotel empat bintang yang mampu memuatkan seramai 24 orang pada satusatu masa.

“Setiap bilik mampu memuatkan seramai tiga orang dengan dilengkapi dengan katil single dan queen,
televisyen, pendingin hawa dan mandian air panas,” tegasnya.

Antara kemudahan ditawarkan di JRF termasuk kolam mandi, kafeteria, ruang aktiviti berkumpulan serta taman dipenuhi pelbagai tumbuhan renek.

Mengulas mengenai aktiviti ditawarkan, Sharifah Laila Hana berkata, pengunjung boleh menanam
pokok, sesi lawatan ke taman-taman, kelas mewarna pot, terapi trail dan memberi makan kuda.

Untuk makluman, JRF mempunyai beberapa jenis taman iaitu Rock Garden,
Storyteller’s Bridge & Garden, Sahara Loop, Herbs Garden dan Secret Garden.

“Kami ada beberapa taman yang boleh diterokai pelawat. Di sini, terdapat pelbagai pokok buah-buahan.
“Antaranya lemon, avocado, markisa, markisa giant, laici Sarawak, abiu dan lain-lain. Pelawat juga akan diajar cara penanaman pokok-pokok ini.

“Selain itu, pengunjung boleh berjalan di kawasan sekitar dengan melakukan aktiviti terapi trail untuk melihat lebih dekat alam semula jadi,” ujarnya lagi.

Dia menambah, pada sebelah malam, pengunjung boleh melakukan aktiviti unggun api sambil mendengar bunyi unggas serta haiwan liar seperti tapir dan monyet.

JRF sangat sesuai untuk pelawat yang ingin bercuti secara berkumpulan sama ada bersama keluarga atau rakan, sekali gus membolehkan aktiviti lebih seronok dilakukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI