fbpx

Kredibiliti Rangnick boleh dipertikaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RANGNICK telah diumumkan secara rasmi sebagai pengurus sementara buat United dengan kontrak sehingga penghujung musim ini. – AFP

MANCHESTER – Bekas legen­da Liverpool, Graeme Souness mengkritik keputusan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United yang sudah rasmi mendapatkan khidmat pengendali Jerman, Ralf Rangnick yang dianggap sebagai jurulatih yang tidak memiliki kredibiliti.

Sebagai rekod, The Red Devils telah mengesahkan kehadiran Rangnick dengan menawarkan kontrak sebagai pengurus sementara sehingga penghujung musim ini bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Ole Gunnar Solskjaer yang dipecat minggu lalu.

Selepas berakhir kontraknya, pengendali berusia 63 tahun itu akan diberikan jawatan automatik untuk kekal sebagai penasihat kepada United sehingga musim 2024.

Namun, Souness percaya Rangnick bukanlah jawapan yang tepat untuk menyelesaikan kemelut dalaman United kerana tidak memiliki kewibawaan yang tinggi selain latar belakang kariernya juga bukanlah terlalu memberangsangkan.

“Pelantikan Rangnick me­nyaksikan United sudah merekodkan tiga kali memilih pengendali sementara sejak Alex Ferguson bersara dan saya tidak faham kenapa keputusan itu dibuat. Malah, Rangnick bukanlah jurulatih yang memiliki rekod kejayaan mengagumkan.

“Mungkin terlalu awal untuk saya mengkritik tetapi saya sa­ngat berminat jika dia membuktikan bahawa pandangan saya silap. Pada saya, United ketika ini memerlukan pengendali berpe­ngaruh untuk menaikkan semula semangat pemain mereka.

“Di atas kertas, mereka memiliki barisan pemain yang cukup berkualiti dan berkelas dunia tetapi segalanya serba tidak menjadi dibawah pimpinan Solskjaer.

“Apa yang pasti, saya anggap Rangnick bertuah kerana berjaya meyakinkan pengurusan ter­tinggi untuk melantiknya mendapatkan jawatan tersebut ketika usianya sudah mencecah 63 ­tahun,” katanya.

Rangnick sebelum ini hanya mengendalikan pasukan di ­kancah Bundesliga selama 30 ­tahun dengan membimbing kelab seperti Stuttgart, Schalke, Hoffenheim dan Red Bull Leipzig. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI