fbpx

Bangga jadi nadi industri penerbangan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SELAIN syarat kelayakan akademik, aspek lain seperti minat, daya tahan, disiplin diri dan kecekalan tinggi adalah penting dalam lapangan kerjaya ini.

“Latihan yang diberikan pula hanyalah kemahiran asas sebagai Pegawai Kawalan Trafik Udara (PKTU) kerana proses pembelajaran berlaku
setiap hari dan di situlah ia membentuk keyakinan diri, kemahiran dan pengetahuan individu,” kata Ts. Nurul Hazwani Hamzah.

Berkecimpung dalam dunia penerbangan sejak tahun 2010 sebagai PKTU, minat terhadap dunia penerbangan sejak kecil lagi mendorong
Nurul Hazwani memilih untuk menceburkan diri dalam profesion tersebut.

Ditambah pula dengan galakan dan dorongan ibu bapa, wanita kelahiran Klang, Selangor ini mengakui, pada awalnya dia sendiri agak ‘samar-samar’ tentang skop kerjaya sebagai seorang PKTU.

Berkongsi cerita, menurut ibu kepada dua orang cahaya mata ini, pendedahan langsung tentang kerjaya PKTU bermula sewaktu latihan industri di Bahagian Non-Destructive Testing (NDT), Malaysia Airlines Berhad, Subang, Selangor pada tahun 2003.

MINAT dalam PKTU bermula sewaktu Nurul Hazwani (empat dari kanan) menjalani latihan industri.

“Pada waktu itu, saya dibawa untuk memerhatikan staf MAS menjalankan ujian NDT pada tayar kapal terbang dan melihat menara kawalan trafik udara dari jauh.

“Sejak itu saya mula menyimpan impian untuk bekerja di menara kawalan walaupun tidak tahu apakah tugasan yang dilakukan.

“Ketika itu jugalah, saya mula mencari maklumat berkaitan kerjaya ini,” katanya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan
Aeroangkasa dan Ijazah Sarjana Pengurusan Fasiliti.

Begitupun, siapa sangka kini dia berjaya menempa nama dalam kerjaya tersebut dan meraih beberapa pencapaian profesional. Ia bermula
dengan Lesen Kawalan Trafik Udara daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta ditauliahkan sebagai pakar teknologi aeroangkasa dan penerbangan.

Lebih membanggakan apabila dia pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019, selain beberapa anugerah lain sehingga menerima biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan bagi melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

MINATNYA dalam dunia penerbangan begitu mendalam apabila beliau berjaya menerima pelbagai anugerah sepanjang perkhidmatan.

Biarpun kerjaya itu agak kurang menonjol berbanding profesion lain dalam industri penerbangan, namun ia menjadi tulang belakang dan nadi penggerak setiap penerbangan.

Ujarnya, ia bukan sekadar memastikan trafik udara selamat dan cekap, tetapi turut membantu juruterbang berlepas dan mendarat dengan selamat serta memastikan kapal terbang diletakkan pada jarak selamat.

Di samping itu, PKTU turut bertanggungjawab bagi seksyen ruang udara tertentu termasuk perhubungan radio perlu kerap dilakukan dengan juruterbang.

Tanggungjawab itu melibatkan memberi arahan, nasihat dan maklumat (cuaca dan kedudukan trafik) kepada juruterbang.

Dalam pada itu, tugas yang diberikan kepada pegawai adalah berbeza mengikut tempat mereka beroperasi.

“Cabaran kami biasanya apabila berlaku situasi yang mana kelancaran trafik tidak seperti dirancang.

“Maka, penyelesaian alternatif perlu diberikan dan bantuan daripada rakan PKTU dan penyelia amat diperlukan pada ketika itu. Tidak dinafikan, ada sahaja cabaran dihadapi sepanjang bertugas, namun sebagai PKTU, kami dilatih untuk bekerja sebagai satu pasukan.

“Kami sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan mengutamakan keselamatan untuk menyelesaikan sebarang cabaran tanpa melanggar peraturan.

“Ini kerana, ia tertakluk kepada akta, peraturan serta prosedur,” tambahnya.

Ujar Nurul Hazwani, sewaktu bertugas, keselamatan adalah perkara paling dititikberatkan.

ANAK kelahiran Klang, Selangor ini bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang memahami kerjaya dan minatnya.

Untuk kekal fokus dan mampu membuat keputusan serta memberi arahan dalam situasi bertekanan tinggi, seorang PKTU perlu mempunyai tahap kesihatan baik dengan perlu lulus pemeriksaan perubatan kelas 3 yang dilakukan secara berkala.

Mereka juga perlu ujian kecekapan tahunan dan penguasaan bahasa Inggeris berkala yang dijalankan untuk memastikan kemahiran berada pada tahap optimum.

Selain itu, mereka juga perlu mempunyai pengetahuan tentang prosedur terkini untuk menjalankan operasi kawalan trafik udara.

Kerjaya sebagai PKTU juga memerlukan Nurul Hazwani bertugas secara syif. Lantaran itu, wanita ini begitu bersyukur kerana keluarga
memahami jadual tugasannya yang tidak sama seperti mereka yang bekerja pada waktu pejabat.

“Jadual tugasan syif adalah kerja berterusan tanpa mengira hujung minggu, cuti umum dan juga perayaan. Malah, bekerja di hari perayaan
menjadi lumrah bagi mereka yang bekerja syif.

“Saya begitu bersyukur kerana ibu bapa, suami serta anak-anak menyokong dan memahami tugas saya sebagai PKTU,” katanya.

POPULAR

BERITA BERKAITAN