KUALA LUMPUR- Polis berjaya mengesan seorang lagi ahli sindiket ubah suai rumah yang giat menjalankan aktiviti memperdaya pemilik apartmen awal tahun ini sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM84,550 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek wanita itu dipercayai menggunakan satu akaun bank peribadi bagi menerima semua transaksi duit daripada mangsa yang ditipu.
“Suspek tersebut telah dikesan bekerjasama dengan dua lagi ahli sindiket yang lain namun belum ditahan bagi membantu siasatan pihaknya.
“Polis akan menahan suspek wanita warga tempatan berumur lingkungan 32-an itu esok pagi dan akan terus dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan bersama dua lagi suspek warga negara asing yang ditahan 5 November lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan penahanan dua lelaki warga asing dipercayai ahli sindiket terbabit dekat sebuah apartmen di sekitar Pantai Dalam pada 5 November lalu.
Ketiga-tiga suspek menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai ejen pengurusan hartanah dan menghubungi mangsa melalui panggilan telefon serta menawarkan pakej pengubahsuaian apartmen.
Menurut Eng Lai, sindiket itu akan menunjukkan gambar atau video pemasangan perabot dan barangan elektrik di apartmen mangsa sebagai bukti sebelum membuka semula barangan terbabit untuk dipasang di rumah mangsa-mangsa yang lain.
Jelasnya, dalang yang mengetuai ketiga-tiga orang ahli sindiket itu berjaya melarikan diri, namun polis sedang giat memburu suspek.
“Kesemua suspek akan dituduh esok pagi dekat Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya.- K! ONLINE














